Saturday, May 15, 2010

Pos Malaysia Rugi RM540 Juta, Siapa Perlu Bertanggungjawab ?

POS Malaysia mengalami kerugian besar diluar jangkaan RM540 juta dalam kira-kira kewangan tahun 2009. Ia berpunca dari kesilapan dan kerugian pelaburan dalam firma Transmile Group Bhd. Kerugian itu telah dipersalahkan kepada pihak pengurusan dan beberapa pengarah Pos Malaysia termasuk bekas pengerusinya, Tan Sri Adam Kadir.

Pihak pengurusan Pos Malaysia dianggotai oleh Ketua Eksekutif (CEO) dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dilantik dan diberi kepercayaan oleh Khazanah untuk mengurus dan melakar perancangan bagi menambah pendapatan Pos Malaysia. Namun, pelaburan yang dilakukan CEO syarikat itu dalam Transmile Group mengalami kerugian tidak terduga yang belum pernah berlaku dalam sejarah penubuhan syarikat itu.
Beberapa tokoh pemimpin Umno dan bukan Umno sudah menuding jari kepada Kementerian Kewangan kerana memilih dan melantik beberapa tokoh korperat yang menjawat jawatan di dua syarikat GLC sekaligus. Mereka berpendapat, adakah negara sudah kekurangan tokoh korperat dan bijak pandai sehingga GLC diurus sedemikan rupa. Mereka menyaran supaya supaya Kementerian Kewangan lebih serius dalam memilih mereka yang layak menjadi CEO serta mengkaji semula kaedah perlantikan CEO dengan lebih teliti.
Sudah kedengaran kritikan apakah perlantikan pegawai tinggi syarikat itu dibuat berdasarkan kepakaran mereka yang sebenar atau hubungan istimewa mereka dengan orang-orang tertentu di Kementerian Kewangan. Dalam hubungan ini, mereka mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop menjalankan siasatan dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana Pos Malaysia boleh mengalami kerugian begitu besar.
Ahli Parlimen Bayan Baru yang baru keluar PKR dan menjadi AP bebas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut mendesak Nor Mohamad menjelaskan perlantikan lapan individu daripada Dana Harta Berhad sebagai CEO dalam GLC yang menurutnya agak keterlaluan. Zahrain mempertikai sama ada motif perlantikan CEO dibuat bersandarkan kelayakan atau sejarah hubungan mereka dengan Nor Mohamad.
Nor Mohamad menafikan sekerasnya penglibatannya dalam sebarang keputusan sehingga menyebabkan Pos Malaysia mengalami kerugian. Menurut beliau, keputusan sepenuhnya diambil dan diputuskan pihak pengurusan dan lembaga pengarah Pos Malaysia sebagai pegawai yang telah diberi amanah dan tiada kena mengena dengan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab merestui perlantikan pegawai berkenaan.
Episod ini sudah menimbulkan tuduhan daripada beberapa individu kepada Nor Mohamad yang didakwa cuba menafikan situasi sebenar yang sudah berlaku dalam Pos Malaysia. Malah Nor mendakwa tuduhan terhadapnya oleh individu-individu itu sejak kebelakangan ini agak keterlaluan seolah-olah mempunyai agenda terselindung secara teratur oleh pihak tertentu. Bekas Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Adam Kadir dikatakan akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendedahkan cerita sebenar episod itu dengan bukti dokumen yang sudah dikumpul mengenai salahlaku pengurusan yang oleh pihak Khazanah.
Adam dalam sidang akhbar menggesa kerajaan supaya mengkaji dengan teliti kepimpinan Khazanah yang menurutnya cuba menguasai sepenuhnya pengurusan Pos Malaysia. Menurutnya, pengurusan Khazanah sudah mengeluarkan RM800 juta dari simpanan (reserved) Pos Malaysia dan mengarahkan pembelian dan pelaburan saham tertentu RM40 juta dalam Transmile Group Bhd yang akhirnya mengakibatkan kerugian tidak diduga syarikat setengah billion ringgit. Adam juga mendesak Najib menghalang cadangan penjualan 33 peratus saham kerajaan yang berada dalam tangan Khazanah kepada syarikat swasta kerana isu itu amat sensitif kepada negara. Katanya, perkhidmatan Pos begitu kritikal kepada rakyat dan tidak seharusnya jatuh ke tangan pihak swasta. Persoalan timbul, siapakah yang patut dipersalah dalam episod itu? Adakah pengurusan Pos Malaysia yang dianggotai CEO dari Khazanah atau menteri yang melantik mereka? Dari episod yang sudah berlaku, pihak pengurusan dan petadbiran perlu bertanggungjawab kerana kelemahan mereka membuat keputusan sehingga syarikat mengalami kerugian besar RM540 juta. CEO Pos Malaysia dan semua pengarah serta pengerusinya harus menjawab kepada kerajaan dan rakyat bagaimana mereka telah membuat pelaburan yang silap dan sepatutnya dihukum sewajarnya dengan kesilapan besar itu.
Dalam organisasi dan cara pengurusan syarikat korperat terbesar dunia, CEO yang gagal menjalankan tugas akibat dari salah keputusan atau kurang berprestasi seperti yang diharapkan seharusnya dipecat dan diganti dengan tokoh lain yang lebih layak. Jika kerugian begitu besar dan berlaku penyelewangan ketara, pegawai tinggi syarikat terlibat harus didakwa kerana perbuatan sengaja tidak amanah mereka menyebabkan kerajaan atau syarikat kerugian yang tidak sepatutnya. Ini hukuman biasa yang patut dikenakan kepada mereka jika mahkamah mendapati mereka bersalah dengan hukuman penjara atau denda yang setimpal.
Dalam kes terbaru melibatkan syarikat korperat terkenal saham, bank pelaburan dan kewangan antarabangsa di barat, ramai pegawai tinggi dan pengarah yang didapati bersalah oleh mahkamah akhirnya disumbat dalam penjara kerana perbuatan curang dan serong mereka. Namun, jika syarikat mengalami kerugian akibat salah percaturan dalam membuat pelaburan, hal itu diselesaikan dengan perletakan jawatan secara sekarela atau pemecatan pegawai berkenaan oleh pihak pengurusan tertinggi. Itupun bergantung kepada budibicara pengurusan organsisasi itu atau kerajaan terlibat untuk mengambil tindakan lebih keras dan sewajarnya jika kesilapan itu tidak boleh dimaafkan atau berlaku kecuaian yang disengajakan.
Dalam kes Pos Malaysia, jika PM Najib ingin kerajaan berlaku jujur dan adil kepada rakyat – kerana perkhidmatan pos melibatkan kepentingan asas rakyat – mereka yang terlibat dan didapati melakukan kesalahan atau kecuaian yang menyebabkan kerajaan kerugian RM540 juta, seharusnya dihadapkan segera ke muka pengadilan untuk mendapat keadilan yang sewajarnya. Dan jika berlaku penyelewangan yang sengaja dan ketara melibatkan kerugian wang rakyat yang begitu banyak, pegawai terlibat tidak boleh diampunkan dan patut diberi hukuman setimpal tidak mengira statusnya sebagai kawan atau pegawai yang sudah lama bertugas.
Menteri atau CEO Khazanah yang membuat keputusan melantik pegawai berkenaan harus turut bertanggungjawab secara tidak langsung kerana salah memilih mereka sehingga kerajaan kerugian setengah billion ringgit. Siapakah yang patut membayar kerugian besar itu? Adakah pegawai CEO dan pengarah yang membuat kesilapan itu perlu membayar jumlah kerugian itu? Adakah menteri terlibat dan CEO Khazanah berkenaan boleh lepas tangan tanpa perlu menjawab kepada rakyat sedangkan secara langsung atau tidak, mereka ada sedikit saham dalam kesilapan keputusan dan kerugian yang sudah berlaku?
Episod ini tidak boleh dipendam dan disimpan dibawah karpet. Ianya memerlukan ketulusan Najib untuk menyelesaikannya secara bijaksana dan adil sesuai dengan gagasan 1Malaysianya; kepentingan rakyat didahulukan, pencampaian diutamakan. Beliau tidak boleh menutup kes itu dengan seribu alasan seperti yang lazimnya diketahui umum. Beliau harus berterus terang dan mengambil tindakan sewajarnya kepada yang terlibat kerana ia melibatkan kerugian wang rakyat yang bukan sedikit sekaligus menunjukkan kelemahan kerajaan BN dan menterinya dalam memilih dan melantik pegawai yang berkebolehan bagi menjayakan rancangan pembangunannya.

No comments: