Saturday, May 29, 2010

Tanah Ktmb Dibangun, Bagaimana Dengan CPF Pekerja Semenanjung?


RAKYAT mungkin tidak mempersoal motif kerajaan membangunkan bersama tanah Keretaapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan pemerintah Singapura kerana matlamtnya dapat dinikmat bersama. Malah Malaysia mendapat sedikit keuntungan apabila diberikan 60 peratus kepentingan dalam syarikat MS Pte Ltd di mana Singapura cuma mendapat 40 peratus.

Dalam persetujuan bersama itu, sebagai pertukaran kerajaan kita ditawarkan dua bidang tanah di kawasan startegik pembangunan Marina South dan Rocho Ophir yang nilainya sama dengan nilai tanah KTMB yang bertaburan di repulik itu seluas 217 hektar. Nilai tanah di KTMB ditaksirkan oleh pakar hartanah di negara jiran itu sekitar SD700 juta. Dalam istilah mudah, jika projek pembangunan bersama antara kedua negara menerusi MS Pte Ltd terlaksana, ia memberi keuntungan besar kepada negara berbanding republik itu yang memegang saham 40 peratus sahaja.

Penyelesaian isu KTMB dianggap kejayaan bagi PM Najib dan PM Lee Hsein Loong dalam menghapuskan legasi silam yang didakwa menghambat perhubungan baik antara kedua negara jiran sejak 20 tahun lalu. Isu itu sudah membuka lembaran baru yang lebih bermakna apabila banyak projek pembangunan lain seperti pembinaan Sistem Pengangkutan Deras yang menghubungkan stesen baru di Tanjung Puteri di Johor dengan stesen transit terakhir Aliran Ringan (MRT) Singapura. Kerajaan juga dikatakan akan menerima pelaburan besar-besaran atas nama kongsi 50-50 untuk membina Kota Kesihatan seluas 200 hektar berkonsepkan adunan perubatan moden dan alternatif selain riadah di kawasan itu.

Namun, di sebalik berita gembira itu, rakyat lupa satu isu yang tidak dibincang, tidak didedah dan belum dimuktamadkan menyentuh soal pemulangan kembali wang simpanan pekerja (CPF) - di sini dipanggil EPF - pekerja dari Semenanjung yang sudah berhenti. Pekerja dari Malaysia Timur, iatu Sabah dan Sarawak dibenarkan mengeluarkan semua simpanan mereka dalam CPF apabila mereka berhenti atau diberhentikan tanpa banyak alasan. Namun, pekerja dari Malaysia barat atau Semenanjug tidak dibenarkan mengeluarkan wang simpanan CPFnya oleh pemerintah Singapura atas alasan yang tidak diketahui.

Kenapakah pekerja dari Sabah dan Sarawak dibenarkan mengeluarkan wang simpanan mereka apabila sudah tidak lagi berkerja di Singapura sedangkan pekerja dari Semananjung tidak dibenarkan? Apakah bezanya pekerja dari Semanjung dengan pekerja dari Sabah dan Sarawak? Kenpakah pemerintah Singapura membezakan kedua kelompok pekerja itu seolah-olah wujud dasar double standard yang ketara? Mengapa kerajaan dibawah Najib tidak membawa isu itu sebagai penyelesaian dalam isu pembangunan tanah KTMB yang dipesetujui bersama dengan pemerintah Singapura?

Salah satu teori mendedahkan pemerintah Singapura sengaja menyimpan wang CPF pekerja dari Semenanjung kerana jumlahnya terlalu banyak dan bakal merugikan jumlah simpanan tetap negara (national reserve) mereka jika semua pekerja dari Semenanjung dibenarkan mengeluarkan semua wang CPFnya. Pendapat lain mendakwa sebahagian wang simpanan itu digunakan untuk tujuan pembangunan dan pelaburan negara itu di dalam dan luar negara. Ini mengingtakan kita kepada episod simpanan berbillion dollar wang pedagang keturunan Cina Indonesia yang tersimpan di bank-bank utama republik itu - ketika krisis ekonomi Asia 1997 - tidak dibenarkan keluar oleh Lee Kuan Yew atas alasan yang sengaja dibuat dan tidak diterima akal.
Jumlah pekerja kita dari Semananjung yang bekerja di repaublik itu begitu besar mencecah jutaan orang - bermula sejak tahun 1965 - dan jumlah simpanan wang mereka dalam tabung CPF Singapura dianggarkan mencecah ribuan billion dolar Singapura. Pekerja dari Semenanjung hanya boleh mengeluarkan semua wang CPFnya apabila mencecah usia 55 tahun.

Sebelum usia itu mereka tidak dibenarkan walaupun mereka sangat memerlukan setelah berpenat lelah berkerja di negara asing itu untuk membeli rumah baru di sini, menunaikan haji, membaiki rumah, bekalan belanja selepas berhenti atau diberhentikan kerja di negara itu. Isu ini sepatutnya menjadi perhatian Najib dan menjadi cagaran jika Singapura bersetuju menyelesiakan isu-isu tertangguh lain seperti pemindahan stesen KTMB dari Tanjung Pagar ke Woodlands, pembangunan bersama tanah KTMB dan pelbagai projek pembangunan di Iskandar?.

Kerajaan Malaysia dibawah Dr Mahathir pernah mengungkit isu itu dan mendesak Lee Kuan Yew (orang yang paling berkuasa di pulau kecil itu) memulangkan semula semua wang CPF pekerja dari Semenanjung yang layak, tetapi Kuan Yew yang terkenal dengan sikap kaisu ( tidak mahu kalah dan selalu mahu menang - walaupun menyakitkan hati jiran) berdegil tidak menghiraukan permintaan Malaysia. Mahathir dikatakan menggunakan isu itu untuk tidak bersetuju bekerjasama membangunkan tanah KTMB selagi isu CPF tidak diseratakan sama sebagai pakej penyelesaian isu-isu tertunggak yang lain.

Namun, dalam pemerintahan PM Najib, isu KTMB mudah selesai dengan tawaran kita mendapat sedikit kelebihan 60 peratus dalam MS Pte Ltd, tetapi isu CPF pekerja dari Semenanjung tidak selesai dan menghantui jutaan bekas pekerja kita di negara jiran itu untuk menagih wang mereka. Mereka masih menunggu dan menunggu jalan penyelesian terbaik dari pemimpin kerajaan kita dengan harapan wang simpanan berkerja yang tersimpan di negara jiran itu sejak sekian lama dapat dikeluarkan dan digunakan untuk tujuan kebaikan sebelum mereka menutup mata.

Sepatutnya PM Najib memberi perhatian serius isu itu dan mendesak PM Lee menyegerakan pemulangan wang CPF itu demi kebajikan nasib masadepan pekerja kita dan simpanan hari tua mereka yang tidak diketahui apakah kesudahan nasib mereka. Setengah pihak mendakwa ada pekerja yang sudah meninggal dunia sementara menunggu wang mereka boleh dikeluarkan pada usia 55 tahun. Keluarga mereka pula tidak tahu bagaimana menuntut kembali wang itu kerana peraturan dan undang-undang keras, sukar dan menyeksakan di negara kiasu itu yang dikenakan kepada pekerja dan orang-orang dari semenanjung.

Wednesday, May 19, 2010

MENGGEMPARKAN!!!Firaun hidup di MALAYSIA??

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Kalau ditakdirkan Abu Jahal dan Firaun hidup semula di Malaysia nescaya dia pun terkejut beruk. Zaman sekarang canggih lagi pada zaman mereka. Yelahh... Malaysia bolehlah katakan. Sebab zaman jahiliyyah mereka membunuh anak perempuan sahaja dan zaman Firaun mereka membunuh anak lelaki sahaja. Sedangkan zaman kini mereka tak peduli lelaki ke perempuan.

Mereka bunuh dengan pelbagai cara. Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah. Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir. Dan episode terkini di Melaka baru-baru ini mereka mewarisi kerja zaman jahiliyyah dengan membunuh anak dengan menanam hidup-hidup bayi yang baru dilahirkan ke dalam tanah.



Disebut didalam al-Quran betapa kejinya kelakuan Firaun apabila mereka membunuh anak-anak lelaki rakyatnya dikalangan Bani Israel. Ia difirmankan:-


إِذْ أَنْجَاكُمْ مِنْ آلِ فِرْعَوْنَ يَسُومُونَكُمْ سُوءَ الْعَذَابِ وَيُذَبِّحُونَ أَبْنَاءَكُمْ وَيَسْتَحْيُونَ نِسَاءَكُمْ وَفِي ذَلِكُمْ بَلَاءٌ مِنْ رَبِّكُمْ عَظِيمٌ
Ketika dia menyelamatkan kamu dari (Fir'aun dan) pengikut-pengikutnya, mereka menyiksa kamu dengan siksa yang pedih, mereka menyembelih anak-anak laki-lakimu, membiarkan hidup anak-anak perempuanmu; dan pada yang demikian itu ada cobaan yang besar dari Tuhanmu". (Surah Ibrahim: 6)


Firasat dari ahli nujum bahawa akan lahir dari kalangan Bani Israel seorang anak lelaki yang menentang dan bakal menghancurkan kekuasaan Firaun. Beliau lantas mengambil tindakan untuk membunuh semua bayi lelaki dari kalangan Bani Israel tetapi membiarkan anak perempuan mereka hidup.


Begitu juga di zaman era jahiliyyah sebelum kebangkitan Rasulullah Saw. Mereka membunuh anak-anak perempuan mereka. Firman Allah Swt:-


وَلَا تَقْتُلُوا أَوْلَادَكُمْ خَشْيَةَ إِمْلَاقٍ نَحْنُ نَرْزُقُهُمْ وَإِيَّاكُمْ إِنَّ قَتْلَهُمْ كَانَ خِطْئًا كَبِيرًا . وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
31. Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu Karena takut kemiskinan. kamilah yang akan memberi rezki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar. 32. Dan janganlah kamu mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk.


Menjadi amalan jahiliah apabila mereka membunuh anak-anak perempuan mereka dan mereka berbangga dengan anak lelaki mereka. Kedatangan Islam menghapuskan amalan jahiliyyah ini yang amat keji. Bagi mereka anak perempuan akan menyusahkan mereka untuk member makan dan minum. Status mereka hanya sekadar pemuas syahwat dan kilang kepada melahirkan anak. Perempuan tidak mampu berperang bahkan menjadi tawanan yang memerlukan tebusan. Semua ini mendorong mereka merasa malu untuk memiliki anak perempuan bahkan mereka memilih untuk membunuh anak perempuan mereka hidup-hidup.
Inilah kanak-kanak yang bakal mengheret ibu-bapa mereka ke dalam neraka sebagaimana firman Allah Swt dalam surah at-Takwir ayat: 8-9 :-


وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ . بِأَيِّ ذَنْبٍ قُتِلَتْ
8. Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikubur hidup-hidup ditanya. 9. Kerana dosa apakah dia dibunuh,


Memanglah ibu-bapa yang membunuh itu berdosa dan salah. Tetapi dalam konteks bernegara Kerajaan UMNO-BN menanggung kesalahan 90% kerana merekalah bapa kepada rakyat keseluruhannya. Dan kesalahan UMNO-BN kerana meninggalkan ajaran Islam daripada dilaksanakan di Malaysia. Mereka mengamalkan dasar sekularisme dan inilah bala serta hasil yang ditimpakan kepada rakyat Malaysia. Dan inilah hasrat penjajah selepas memerdekakan Tanah Melayu melebihi separuh abad yang lalu. Menggunakan pakai dasar nasionalisme dan meninggalkan ajaran Islam yang sudah sedia terpakai sebelum kedatangan penjajah. Kegagalan kerajaan dalam menjaga 5 perkara dharuri iaitu Agama, Aqal, Zuriat, Harta & Nyawa. Kelima-lima perkara itu hanya akan terpelihara dengan menegakkan hukum Allah diatas mukabumi ini.
Bagaimana kalau pemimpin yang bersekongkol dengan APCO Yahudi, menghalalkan judi, penaja kepada kehidupan bebas, hiburan yang berleluasa, mengabaikan pendidikan Islam hendak kita amanahkan dan diharap untuk melaksanakan hukum Islam. Ish jauh panggang dari api. Akibatnya ia bukan penyelesai masalah tetapi pimpinan negara inilah sebenarnya pembawa dan punca masalah.


Lihatlah angka berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008. Bagaimana yang belum dilahirkan tahun1999 dan sebelumnya? Pada 2007 sahaja ia mencatatkan seramai 16,100 orang anak luar nikah didaftarkan di JPN dikalangan orang Melayu manakala pada 2008 seramai 16,541 orang dan pada tahun 2009 jumlah tersebut makin meningkat seramai 17,303 anak luar nikah atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara iaitu purata 47 orang sehari. Siapa mereka ini. Inilah anak-anak 1 malaysia.


Ia bukan sekadar masalah tetapi sudah menjadi bala. Inilah akibat yang disabdakan oleh Rasulullah Saw yang diriwayatkan oleh Abu Dawuud:-


عَنْ مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَزَالُ أُمَّتِي بِخَيْرٍ مَا لَمْ يَفْشُ فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا فَإِذَا فَشَا فِيهِمْ وَلَدُ الزِّنَا فَيُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعِقَابٍ
Maksudnya: Daripada Maimunah Radhiallahu anha, Isteri Rasulullah Saw berkata: “ Aku mendengar Rasulullah Saw bersabda: Umatku (ini) akan terus berada dalam kebaikan selama tidak tersebar luas anak zina di kalangan mereka.apabila anak zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir sahaja Allah azza wajalla akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya.( Haditis riwayat Ahmad, baik sanadnya).


Hari ini bala bukan setakat meluasnya zina dan bunuh anak tetapi semua aspek. Keruntuhan sosial, kebejatan ekonomi, kadar jenayah yang semakin meningkat. Sedangkan penyelesaian Islam sudah ada. Untuk mencegah anak zina kita mesti menutup setiap pintu zina dan maksiat. Kaedah usul-fiqh قاعدة سد الذرائع telah menyebut agar menutup segala lubang-lubang yang boleh membawa kepada penzinaan.
Bermula dari pendidikan sejak awal, Pentarbiyyahan diperingkat institusi kekeluargaan, Mewujudkan bi’ah dan persekitaran yang Islami disemua lapisan serta pengukuhan pendidikan Islam dan suasana yang terkawal serta berakhlak islam dan terakhir adalah pengukuhan Negara Islam dan pelaksanaan syariat Islam.


Realitinya pencegahan yang dilakukan sekarang hanya sekadar solekan semata-mata. Tidak menyelesaikan ke akar umbi penyakit. Bab member pil tahan sakit sahaja. Sama seperti melapkan air yang tumpah tetapi paip yang bocor tidak dibaiki. Para ulama dan pendakwah disalahkan jika berlaku penyakit social tetapi mereka tidak boleh menutup punca sebenar segala permasalahan. Kerana kuncinya dipegang oleh para pemerintah.

Ketika Rasulullah saw berada di Mekah, diera jahiliyyah didapati keadaan seperti ini wujud. Kekuasaan yang berada ditangan bangsawan Quraish yang tidak Islam tidak memberi apa-apa kemudahan dan pertolongan bahkan penguasaan amalan jahiliyyah yang parah dipaksakan diatas penduduk. Inilah yang membawa Rasulullah Saw berpindah ke Madinah dan membentuk Negara Islam serta mewujudkan infra dan pembinaan umat Islam disetiap sudut meskipun Madinah ketika itu berbilang agama dan berbilang bangsa. Sehinggalah ke peringkat perlaksanaan undang-undang sebagaimana firman Allah Swt:-


الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَPerempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. [Maksud surah al-Nur : 2]

I’Allah inilah yang menjadi matlamat perjuangan kita dalam menyelesaikan secara total permasalahan masyarakat yang ada sekarang.

Saturday, May 15, 2010

Pos Malaysia Rugi RM540 Juta, Siapa Perlu Bertanggungjawab ?

POS Malaysia mengalami kerugian besar diluar jangkaan RM540 juta dalam kira-kira kewangan tahun 2009. Ia berpunca dari kesilapan dan kerugian pelaburan dalam firma Transmile Group Bhd. Kerugian itu telah dipersalahkan kepada pihak pengurusan dan beberapa pengarah Pos Malaysia termasuk bekas pengerusinya, Tan Sri Adam Kadir.

Pihak pengurusan Pos Malaysia dianggotai oleh Ketua Eksekutif (CEO) dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dilantik dan diberi kepercayaan oleh Khazanah untuk mengurus dan melakar perancangan bagi menambah pendapatan Pos Malaysia. Namun, pelaburan yang dilakukan CEO syarikat itu dalam Transmile Group mengalami kerugian tidak terduga yang belum pernah berlaku dalam sejarah penubuhan syarikat itu.
Beberapa tokoh pemimpin Umno dan bukan Umno sudah menuding jari kepada Kementerian Kewangan kerana memilih dan melantik beberapa tokoh korperat yang menjawat jawatan di dua syarikat GLC sekaligus. Mereka berpendapat, adakah negara sudah kekurangan tokoh korperat dan bijak pandai sehingga GLC diurus sedemikan rupa. Mereka menyaran supaya supaya Kementerian Kewangan lebih serius dalam memilih mereka yang layak menjadi CEO serta mengkaji semula kaedah perlantikan CEO dengan lebih teliti.
Sudah kedengaran kritikan apakah perlantikan pegawai tinggi syarikat itu dibuat berdasarkan kepakaran mereka yang sebenar atau hubungan istimewa mereka dengan orang-orang tertentu di Kementerian Kewangan. Dalam hubungan ini, mereka mendesak Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamad Yakcop menjalankan siasatan dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana Pos Malaysia boleh mengalami kerugian begitu besar.
Ahli Parlimen Bayan Baru yang baru keluar PKR dan menjadi AP bebas, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim turut mendesak Nor Mohamad menjelaskan perlantikan lapan individu daripada Dana Harta Berhad sebagai CEO dalam GLC yang menurutnya agak keterlaluan. Zahrain mempertikai sama ada motif perlantikan CEO dibuat bersandarkan kelayakan atau sejarah hubungan mereka dengan Nor Mohamad.
Nor Mohamad menafikan sekerasnya penglibatannya dalam sebarang keputusan sehingga menyebabkan Pos Malaysia mengalami kerugian. Menurut beliau, keputusan sepenuhnya diambil dan diputuskan pihak pengurusan dan lembaga pengarah Pos Malaysia sebagai pegawai yang telah diberi amanah dan tiada kena mengena dengan beliau sebagai menteri yang bertanggungjawab merestui perlantikan pegawai berkenaan.
Episod ini sudah menimbulkan tuduhan daripada beberapa individu kepada Nor Mohamad yang didakwa cuba menafikan situasi sebenar yang sudah berlaku dalam Pos Malaysia. Malah Nor mendakwa tuduhan terhadapnya oleh individu-individu itu sejak kebelakangan ini agak keterlaluan seolah-olah mempunyai agenda terselindung secara teratur oleh pihak tertentu. Bekas Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Adam Kadir dikatakan akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendedahkan cerita sebenar episod itu dengan bukti dokumen yang sudah dikumpul mengenai salahlaku pengurusan yang oleh pihak Khazanah.
Adam dalam sidang akhbar menggesa kerajaan supaya mengkaji dengan teliti kepimpinan Khazanah yang menurutnya cuba menguasai sepenuhnya pengurusan Pos Malaysia. Menurutnya, pengurusan Khazanah sudah mengeluarkan RM800 juta dari simpanan (reserved) Pos Malaysia dan mengarahkan pembelian dan pelaburan saham tertentu RM40 juta dalam Transmile Group Bhd yang akhirnya mengakibatkan kerugian tidak diduga syarikat setengah billion ringgit. Adam juga mendesak Najib menghalang cadangan penjualan 33 peratus saham kerajaan yang berada dalam tangan Khazanah kepada syarikat swasta kerana isu itu amat sensitif kepada negara. Katanya, perkhidmatan Pos begitu kritikal kepada rakyat dan tidak seharusnya jatuh ke tangan pihak swasta. Persoalan timbul, siapakah yang patut dipersalah dalam episod itu? Adakah pengurusan Pos Malaysia yang dianggotai CEO dari Khazanah atau menteri yang melantik mereka? Dari episod yang sudah berlaku, pihak pengurusan dan petadbiran perlu bertanggungjawab kerana kelemahan mereka membuat keputusan sehingga syarikat mengalami kerugian besar RM540 juta. CEO Pos Malaysia dan semua pengarah serta pengerusinya harus menjawab kepada kerajaan dan rakyat bagaimana mereka telah membuat pelaburan yang silap dan sepatutnya dihukum sewajarnya dengan kesilapan besar itu.
Dalam organisasi dan cara pengurusan syarikat korperat terbesar dunia, CEO yang gagal menjalankan tugas akibat dari salah keputusan atau kurang berprestasi seperti yang diharapkan seharusnya dipecat dan diganti dengan tokoh lain yang lebih layak. Jika kerugian begitu besar dan berlaku penyelewangan ketara, pegawai tinggi syarikat terlibat harus didakwa kerana perbuatan sengaja tidak amanah mereka menyebabkan kerajaan atau syarikat kerugian yang tidak sepatutnya. Ini hukuman biasa yang patut dikenakan kepada mereka jika mahkamah mendapati mereka bersalah dengan hukuman penjara atau denda yang setimpal.
Dalam kes terbaru melibatkan syarikat korperat terkenal saham, bank pelaburan dan kewangan antarabangsa di barat, ramai pegawai tinggi dan pengarah yang didapati bersalah oleh mahkamah akhirnya disumbat dalam penjara kerana perbuatan curang dan serong mereka. Namun, jika syarikat mengalami kerugian akibat salah percaturan dalam membuat pelaburan, hal itu diselesaikan dengan perletakan jawatan secara sekarela atau pemecatan pegawai berkenaan oleh pihak pengurusan tertinggi. Itupun bergantung kepada budibicara pengurusan organsisasi itu atau kerajaan terlibat untuk mengambil tindakan lebih keras dan sewajarnya jika kesilapan itu tidak boleh dimaafkan atau berlaku kecuaian yang disengajakan.
Dalam kes Pos Malaysia, jika PM Najib ingin kerajaan berlaku jujur dan adil kepada rakyat – kerana perkhidmatan pos melibatkan kepentingan asas rakyat – mereka yang terlibat dan didapati melakukan kesalahan atau kecuaian yang menyebabkan kerajaan kerugian RM540 juta, seharusnya dihadapkan segera ke muka pengadilan untuk mendapat keadilan yang sewajarnya. Dan jika berlaku penyelewangan yang sengaja dan ketara melibatkan kerugian wang rakyat yang begitu banyak, pegawai terlibat tidak boleh diampunkan dan patut diberi hukuman setimpal tidak mengira statusnya sebagai kawan atau pegawai yang sudah lama bertugas.
Menteri atau CEO Khazanah yang membuat keputusan melantik pegawai berkenaan harus turut bertanggungjawab secara tidak langsung kerana salah memilih mereka sehingga kerajaan kerugian setengah billion ringgit. Siapakah yang patut membayar kerugian besar itu? Adakah pegawai CEO dan pengarah yang membuat kesilapan itu perlu membayar jumlah kerugian itu? Adakah menteri terlibat dan CEO Khazanah berkenaan boleh lepas tangan tanpa perlu menjawab kepada rakyat sedangkan secara langsung atau tidak, mereka ada sedikit saham dalam kesilapan keputusan dan kerugian yang sudah berlaku?
Episod ini tidak boleh dipendam dan disimpan dibawah karpet. Ianya memerlukan ketulusan Najib untuk menyelesaikannya secara bijaksana dan adil sesuai dengan gagasan 1Malaysianya; kepentingan rakyat didahulukan, pencampaian diutamakan. Beliau tidak boleh menutup kes itu dengan seribu alasan seperti yang lazimnya diketahui umum. Beliau harus berterus terang dan mengambil tindakan sewajarnya kepada yang terlibat kerana ia melibatkan kerugian wang rakyat yang bukan sedikit sekaligus menunjukkan kelemahan kerajaan BN dan menterinya dalam memilih dan melantik pegawai yang berkebolehan bagi menjayakan rancangan pembangunannya.

Monday, May 3, 2010

Lupa Berpaling Ketika Salam

Wednesday, January 28, 2009
Lupa Berpaling Ketika Salam
salam.

tadi saya solat subuh, kerana risaukan anak saya yg bermain tanpa pengawasan, selepas melafazkan salam saya terus kearahnya tanpa memalingkan muka ke kanan (salah satu rukun solat). Tetapi apabila teringat, terus saya duduk semula dan memalingkan muka kekanan.

Sah ke solat saya??

*******************
Abu_Umair
Panel Feqh


بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

- Salam yang wajib yang menjadi rukun sembahyang ialah salam pertama. Manakala salam kedua adalah sunat. Perkara ini adalah ijmak yang dinukilkan oleh Ibn Abdil Barr dalam Istizkar (1/531), dan Qurtubi dalam tafsirnya (1/392).

- Begitu juga memalingkan muka ke kanan ketika salam pertama, dan ke kiri ketika salam kedua adalah sunat, bukannya rukun. Maka sah sembahyang dengan memberi salam dengan menghadap muka ke depan sahaja.

Dalam satu atsar:


عن عائشة رضي الله عنها : أنها كانت تسلم تسليمة واحدة قبالة وجهها السلام عليكم

Daripada Aisyah, bahawa beliau memberi salam dengan satu salam, menghadap ke hadapannya, dengan megucapkan, "Assalamualaikum".
Direkod oleh Ibn Abi Syaibah (1/301) dan Ibn Khuzaimah dalam sahihnya (no: 730).

Wallahu A'lam.

"PEMIMPIN DIDAHULUKAN,RAKYAT DIBELASAHKAN"..

Oleh : HALIK ZAMAN

PERHIMPUNAN membantah perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mendapat halangan dari pihak berkuasa. Kerajaan UMNO/BN. Pastinya atas arahan ‘orang atasan’ dan ‘orang atasan’ itu pastinya yang mewujudkan sistem kenaikan cukai GST. Bila dikatakan Cukai, semua pihak akan terlibat siapa yang dinamakan ‘rakyat’.

Jika dilihat secara logik, apa perlunya dilaksanakan cukai GST ini? Yang lebih mendukacitakan, rakyat Malaysia yang harus memikul segala tunggak bebanan cukai ini di bahu setiap rakyat. Rakyat yang miskin juga terlibat secara tidak langsung.


Mengapa sistem sebegini diwujudkan untuk menyusahkan rakyat? Apakah ini selaras dengan slogan kebanggaan UMNO yakni, “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan?" Ini bererti pencapaian Kerajaan yang sudah mula diutamakan dan bebanan rakyat memikulnya didahulukan. Tidakkah begitu?

Para Menteri dan Timbalan Menteri memanglah tidak terasa akan bebanan perlaksanaan cukai GST ini, kerana golongan Pak-Pak Menteri dan Timbalan Menteri tidak pernah kenal erti cukai dalam hidup mereka kerana gaji mereka cukup lumayan untuk menanganinya cukai pendapatan.

Kenapa mereka tidak mewah kalau tol percuma, cukai jalan pun mereka tidak bayar, pembantu rumah, tukang kebun, elaun rumah, elaun keraian semua dibayar dari wang rakyat. Jadi, perlaksanaan cukai ini tidak memberi makna kepada kehidupan mereka.

Bezantara kehidupan ‘golongan atasan’ dan ‘rakyat bawahan’ memang terlalu amat ketara. Yang indah-indah semuanya kepunyaan ‘golongan atasan’ manakala segala kepayahan dimiliki sepenuhnya oleh ‘rakyat marhaen’. Rintihan dan tangisan orang kampung juga perlu Kerajaan UMNO/BN ambil kira sebelum menaikkan cukai.

Sepatutnya setelah mereka dapat mandat dari rakyat yang mengundi Kerajaan UMNO/BN sehingga mereka selesa di kedudukan masing-masing, janganlah di bebankan lagi rakyat yang telah banyak berjasa pada Pak-Pak Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri ini.

Apakah mereka sudah terlalu ‘senile’ untuk mengetahui bahawa perlaksanaan cukai GST ini banyak menjejaskan senario ekonomi rakyat Malaysia? Walau apa pun alasan yang bakal di berikan oleh pihak Kerajaan UMNO/BN, ianya tetap dan akan terus menjadi keluh-kesah rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Sesuatu yang paling dikenal-pasti, setiap ‘tekanan’ yang ingin dikenakan kepada rakyat, pastinya dilaksanakan selepas setiap PRU atau PRK. Kalau rasa UMNO/BN terlalu berpengaruh, mengapa tidak berani melaksanakan sebelum PRK Hulu Selangor baru-baru ini? UMNO/BN tidak begitu gusar dengan PRK Sibu memandangkan BN menguasai 90% pegangan di negeri itu.

Apakah perlaksanaan cukai GST ini merupakan ‘hadiah istimewa’ buat semua rakyat terutamanya rakyat Selangor yang telah menghadiahkan kemenangan kepada BN di PRK Hulu Selangor baru-baru ini?

Makanya, jangan hairan jika berlakunya sekali lagi gelombang tsunami politik di Negara ini kelak. Makanya jangan marah jika terpaksa melepaskan kedudukan yang di genggaman anda sekarang ini andai rakyat berubah hati.

Tentu rakyat ingin tahu apakah erti ‘Cukai Barangan’ itu? Ertinya semua keperluan rakyat dikena cukaikan oleh Kerajaan UMNO/BN. Apakah ertinya ‘Cukai Perkhidmatan?’ Ertinya semua perkhidmatan bas tambangnya naik, tambang taxi naik, tambang keretapi naik, tambang pengangkutan naik dan tambang kapal terbang naik. Siapa yang pikul beban ini kalau bukan rakyat?...