Sunday, October 25, 2009

MLM dari perspektif Fiqh Islami

Lajnah Keahlian & Ulama Pelapis,Dewan Ulama PAS Pusat
Fri | Apr 13, 07 | 5:10:52 pm MYT

'Multi Level Marketing' (MLM) adalah salah satu strategi pemasaran yang digunakan secara meluas kini. Walaupun MLM berteraskan jualan langsung, tetapi sistem dan perjalanan antara MLM tertentu dengan yang lain adalah berbeza.
Justeru, hukum halal dan haram MLM tidak boleh diukur kepada namanya sahaja, tetapi ia mesti dilihat perjalanan MLM itu sendiri. Ini kerana, hukum sesuatu perkara berkait rapat dengan hakikatnya.
Untuk mengukur MLM dari perspektif Islam, kita perlu melihat beberapa sudut seperti hukum asal MLM, faktor yang mengharamkannya dan cara untuk keluar daripada unsur-unsur haram itu.
MLM dari sudut positif
Jika dilihat sudut positif, MLM berperanan 'pemecah' kepada pemonopolian pasaran bagi sesetengah produk. Tanpa disedari, barangan orang Islam tempatan hampir tiada di pasar raya di negara kita hatta pasar kecil atau kedai runcit. Sedangkan sebahagian produk orang Islam tempatan mempunyai mutu yang baik dan terjamin halalnya.
Apabila orang Islam yang mampu mengeluarkan produk tersendiri, tetapi apabila berdepan pasaran yang sebahagiannya boleh disifatkan sebagai 'dibentengi' menyebabkan kemampuan orang Islam mengeluarkan produk akhirnya terhenti akibat tidak dapat bersaing dengan pengeluar lain dari sudut pemasaran.
Hakikatnya orang Islam yang mempunyai keupayaan menghasilkan produk mempunyai modal kecil berbanding syarikat gergasi antarabangsa serta mereka tidak mampu menanggung kos pemasaran yang tinggi berbanding syarikat gergasi yang lain.
Akhirnya mereka berdepan kelembapan pasaran seterusnya keupayaan dan potensi orang Islam yang sepatutnya boleh dibangun dan dipertingkatkan mati begitu sahaja. Lebih parah apabila kerajaan membuat perjanjian FTA dan serangan globalisasi yang menyebabkan persaingan tidak adil antara pemodal besar dan peniaga kecil.
MLM dari sudut positifnya boleh menjadi strategi pemasaran bagi memecahkan pasaran yang dibentengi tembok tertentu. Ia berguna bagi memperkenalkan produk terutamanya produk halal orang Islam tempatan.
Justeru, MLM perlu dilihat dari sudut positif dan kita sepatutnya sama-sama berusaha memperbaikinya supaya bertepatan dengan syariat sehingga sistem MLM dapat menjadi penyumbang kepada pemasaran barangan orang Islam.
Hukum asal MLM
Hukum asal bagi setiap muamalat adalah harus selama mana tidak terdapat dalil dan faktor yang mengharamkannya. �Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.� (maksud al-Baqarah 29).
HUKUM ASAL BG SEGALA SESUATU ADALAH HARUS. Berdasarkan kaedah ini, hukum asal sistem dan konsep MLM adalah harus selama mana tidak terdapat faktor yang mengharamkannya. Untuk menghukumkan sesuatu muamalat sebagai haram mestilah bersandarkan dalil. Selama mana tidak terdapat dalil dan faktor haram, maka selama itu muamalat tersebut kekal harus.
Dengan kata lain, keharusan sesuatu muamalat seperti MLM tidak memerlukan dalil, sebaliknya pengharaman sesuatu muamalat memerlukan kepastian dan sandaran dalil yang kuat, seperti haramnya sesuatu muamalat kerana kepastian terdapat riba di dalamnya di mana riba adalah haram secara putus dan ijmak di kalangan ulama.
Berdasarkan kaedah syariat, pengharaman sesuatu yang asalnya harus tidak boleh bersandarkan kepada hukum khilafiah, kecuali ketika penggubalan undang-undang. Contohnya, jika ulama khilaf berkenaan dengan Ghabnun dan 'had maksimum keuntungan', maka kita tidak boleh mengharamkan MLM disebabkan harganya yang tinggi berbanding barangan lain.
Oleh itu, untuk mengukur sesuatu muamalat halal atau haram memerlukan kepada:
1. Memastikan benar-benar terdapat unsur haram di dalamnya seperti pemastian bonus yang diagihkan berasaskan perjudian yang akhirnya menyebabkan muamalat tersebut haram.
2. Unsur tersebut hendaklah haram secara putus dari sudut syariat. Seperti unsur riba, unsur perjudian, unsur kezaliman dan sebagainya. Sebaliknya, tidak boleh kita menghukumkan haram sesuatu muamalat jika ia bersandarkan kepada unsur yang khilafiah dari sudut halal dan haramseperti muamalat yang berasaskan kepada bai' 'inah, ghabnun yang tidak faahish dan seumpamanya.
Perlu difahami asas kepada muamalat ialah mudah dan toleransi. Berbeza dengan asas kepada ibadat yang bersandarkan kepada ikutan dan ta'abbudi.
Justeru, talfik mazhab atau penggabungan mazhab dalam muamalat adalah dibenarkan berbeza dengan talfik dalam ibadat di mana hukum talfiknya lebih ketat berbanding talfik dalam muamalat.
FAKTOR2 HARAM...
Selama mana sesuatu muamalat tidak dimasuki unsur dan faktor haram, maka hukumnya harus sebagaimana asal. Setakat ini faktor haram di sebalik MLM ialah:
1. Perjudian
Perjudian yang terdapat dalam sesetengah MLM dinamakan judi '21 up'. Judi '21 up' bermaksud, setiap yang terlibat di dalam perjudian tersebut mempertaruhkan sejumlah wang tertentu seperti setiap penjudi mempertaruhkan RM10. Selepas pengagihan daun terup dan kiraan mata dikumpulkan, maka penjudi pertama yang dapat mengumpulkan sebanyak 21 mata akan mengambil semua wang yang dipertaruhkan.
Konsep ini diamalkan dalam sebahagian MLM bagi memberi bonus yang tinggi kepada orang yang mencapai point tertinggi atau jualan tertinggi dalam sesuatu level. Contohnya, andai kata dalam level ketiga terdapat 3 orang menjual ubat gigi yang harga jualannya RM5. Daripada RM5 itu, syarikat mengambil RM3 sebagai kos dan untung, manakala penjual MLM mendapat RM1 daripada setiap unit yang dijual. Baki RM1 dipegang syarikat untuk diberikan kepada orang pertama dalam level tersebut yang mencapai tahap jualan sebanyak 5 unit.
Jika penjual pertama berjaya menjual 3 unit, penjual kedua sebanyak 2 unit dan penjual ketiga sebanyak 5 unit, maka penjual ketiga akan memperolehi bonus RM10 kerana dia adalah orang pertama dalam level tersebut mencapai jualan 5 unit.
Hakikatnya, RM5 daripada RM10 bonus itu adalah hak penjual pertama (RM3) dan hak penjual kedua (RM2) yang dipegang syarikat yang akhirnya diserahkan kepada penjual ketiga kerana berjaya mencapai jualan target.
Bonus dalam bentuk ini secara pastinya adalah perjudian yang diharamkan Islam kerana si penjual pertama dan si penjual kedua dinafikan haknya kerana kalah, justeru tidak mencapai jualan �target�. Sedangkan konsep keuntungan dalam muamalat Islam yang berpandukan surah al-Baqarah ayat 286 ialah, 'setiap yang berusaha berhak mendapat hasil yang diusahakan'.
Bagaimanapun, perjudian yang mencemari MLM ini dapat dibersihkan dengan pelbagai cara seperti pembahagian bonus, bersumberkan keuntungan syarikat yang diagihkan kepada setiap penjual MLM berpandukan unit yang berjaya dijual.
Walaupun bonus yang berkonsepkan pembahagian yang berpandukan jumlah jualan tidak dapat dijadikan bahan kempen kerana jumlah bonus penjual tertinggi lebih rendah berbanding bonus yang berkonsepkan perjudian, tetapi ia bersifat adil untuk semua pihak.
Sememangnya sebahagian pembuat sistem MLM lebih tertarik dengan bonus yang berkonsepkan perjudian kerana ia boleh dijadikan bahan untuk menarik orang ramai menyertainya justeru nilaiannya yang sangat tinggi, tetapi ia diharamkan kerana nilai yang tinggi tadi diperolehi dengan menzalimi pihak lain.
2. Riba
Apabila terdapat 'fixed return' atau janji kemasukan tetap dalam sesuatu sistem MLM, maka ia adalah riba yang diharamkan. Contohnya, setiap ahli yang menyertai rangkaian MLM mestilah membayar yuran RM50. Setelah ia menjadi ahli dengan pembayaran yuran, maka ia berhak mendapat RM5 setiap bulan sebagaimana dijanjikan syarikat di samping keuntungan jualan atau keuntungan melalui poin penggunaan produk MLM.
'Fixed return' tersebut adalah riba yang mencemarkan keharusan sistem MLM. Jelasnya, 'fixed return' ini juga diadakan guna untuk menarik orang ramai menyertai rangkaian MLM tersebut. Bagaimanapun, sistem MLM yang dicemari riba ini boleh dibersihkan melalui pelbagai cara.
Contohnya agihan keuntungan berdasarkan mata penggunaan melalui konsep mudharabah, dimana setiap ahli yang membeli adalah mudhorib (pencarum) yang berhak mendapat peratusan keuntungan syarikat MLM dalam tempoh setahun sebagai contoh. Cara ini bersih daripada riba dan boleh menarik orang ramai menjadi ahli MLM ini.
3. Tadlis, taghrir dan Syamta'
Tadlis bermaksud memalsukan, taghrir bermaksud memperdayakan dan syamta' pula bermaksud 'make up' hamba yang hodoh sehingga kelihatan cantik dengan tujuan memperdayakan pembeli.
Contohnya, syarikat yang berkempen menarik keahlian dengan mengeluarkan buletin yang mempamerkan ahli yang dihadiahkan bonus kereta BMW 3 Series. Ahli dan orang ramai yang melihat buletin tersebut secara umumnya memahami syarikat menghadiahkan kereta tersebut kepada ahli berkenaan tanpa bayaran-bayaran tambahan. Sedangkan syarikat hanya membayar muka pendahuluan RM1,000 untuk diserahkan kepada ahli yang diiklankan sebagai paling cemerlang.
Apabila ahli tersebut menerimanya, ia terpaksa menanggung ansuran bulanan yang tinggi yang akhirnya menyebabkan ahli tadi hanya mampu memakai kereta tersebut dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
Syarikat berjaya mengiklankan si ahli tersebut berjaya mendapatkan BMW 3 Series tanpa menjelaskan keadaan sebenar syarikat yang hanya membayar down payment RM1000. Apabila diiklankan 'dihadiahkan' atau 'menerima hadiah' atau 'berjaya memperolehi', umum memahami si ahli memperolehi secara seratus peratus kereta tersebut tanpa apa-apa ansuran bulanan.
Menyembunyikan hakikat pembayaran RM1000 sebagai down payment pastinya bersalahan dengan pemahaman umum. Ini menyebabkan pengiklanan tadi boleh dikategorikan sebagai 'taghrir' (memperdayakan) dalam bentuk 'Syamta' yang diharamkan.
Syamta' ini boleh dibersihkan melalui pelbagai alternatif. Syarikat boleh menganjurkan majlis penyampaian bonus yang halal kepada ahli-ahli yang mencapai jualan tertinggi dan diiklankan dalam buletin. Sekalipun iklan dalam bentuk ini tidak semenarik iklan ahli yang mendapat BMW 3 Series, tetapi ia berupaya menarik ahli baru dalam bentuk tidak memperdayakan dan tidak menghiasi sesuatu hakikat yang tidak benar.
4. Mengambil hak orang lain dengan cara yang salah
Terdapat MLM yang sistemnya berkonsepkan kutu yang haram seperti penggunaan konsep �Auto Placement�. Dalam konsep �Auto Placement� ini, ahli pertama perlu mencari dua ahli di bawahnya dan setiap ahli dikenakan yuran RM2. Yuran RM2 tadi terkumpul dan akan dinikmati ahli yang awal sehinggalah yang pertama terkeluar dengan masuknya ahli baru.
Konsep ini asalnya bukan sistem MLM bahkan ia konsep kutu yang haram. Tetapi ada sistem MLM menggunakan kaedah kutu yang haram ini bagi penetapan yuran keahlian dan jumlah yuran ahli yang terkumpul dijadikan bonus bagi level yang paling tinggi.
Di sini, syarikat MLM yang menggunakan konsep ini tidak mementingkan barang, tetapi ia mementingkan keahlian kerana bonus yang diperolehi �upline� adalah yuran ahli yang terkumpul. Ini punca sesetengah barangan yang tidak jelas dalam sebahagian MLM.
Jika ada bertanya, apa salahnya jika pembayaran yuran berasaskan reda sebagaimana dalam hukum hibah dan tabarru'? Jawapannya, reda yang menjadi syarat halal tersebut mesti didahului atau disertai perniagaan halal sebagaimana ayat 29, an-Nisaa'. Jika tiada perniagaan, iaitu wang yang dikeluarkan hanyalah berbentuk yuran terkumpul yang dipusingkan di kalangan ahli tanpa ada apa-apa pertukaran, maka reda tidak boleh menjadi sebab untuk menghalalkannya.
Tambahan pula, hibah dan tabarru' yang halal dan harus tidak boleh disertai dengan tujuan seperti hibah untuk mendapatkan untung, dan sebagainya. Jika hibah dengan niat ini, ada pendapat yang menyatakan batal dan ada menyatakan ia berubah menjadi transaksi jual beli atau seumpamanya dan bukan lagi hibah sebenar.
Jika berpandukan pendapat yang menyatakan batal, maka penyertaan dalam MLM yang bersifat seperti ini adalah batal. Dan jika berpandukan pendapat hibah dengan niat mendapatkan keuntungan ini berubah menjadi hukum jual beli, maka tuntasnya jika ketiadaan barang yang menjadi pertukaran maka hukumnya adalah haram kerana si pemakannya memakan hak orang lain tanpa sebab yang harus sebagaimana konsep kutu yang haram di atas.
Bukan semua hibah hukumnya harus bahkan kadangkala hibah menjadi haram seperti hibah yang menjadi syarat pinjaman yang dikategorikan sebagai riba yang haram.
5. Penindasan
Bagi sesetengah sistem MLM, ia mensyaratkan jumlah jualan tertentu bagi mendapatkan keuntungan. Sebagaimana diterangkan, ahli-ahli yang tidak mencapai jualan �target� akan dicabut bahagian keuntungannya dan pihak syarikat akan memberikan kepada orang yang mencapai jualan �target�.
Seorang ahli yang berjaya menjual 5 produk yang sepatutnya mendapat keuntungan asal bagi setiap satunya berjumlah RM2, tetapi ahli tersebut hanya diberikan RM1 kerana tidak berjaya mencapai jualan �target� dan baki RM1 diambil syarikat untuk diserahkan kepada ahli satu level yang berjaya mencapai jualan target.
Ini bermakna, ahli yang berjaya menjual 5 produk diberikan RM5 dan RM5 lagi diserahkan kepada ahli yang berjaya mencapai jualan �target� seperti berjaya menjual 10 produk. Justeru, ahli yang berjaya menjual 10 produk mendapat RM25 (RM20 untung jualan dan ditambah bonus RM5 yang diambil daripada ahli yang tidak dapat mencapai jualan �target�).
Di samping mengandungi unsur perjudian, ia juga mengandungi penindasan yang menjadi punca haram. Sedangkan konsep muamalat Islam ialah, setiap seseorang berhak mendapat apa yang ia usahakan. Berdasarkan konsep Islam ini, si ahli yang berjaya menjual lima produk sepatutnya mendapat RM10 sebagaimana ahli yang berjaya menjual 10 produk mendapat RM20.
Apakah alternatifnya?
Sebenarnya, Islam hanya menyenaraikan unsur-unsur haram sahaja dan selainnya halal. Ada ulama hanya menyimpulkan sebab-sebab haram hanya tiga perkara, iaitu riba, gharar dan zalim. Jika sesuatu muamalat bersih daripada ketiga-tiga unsur ini, maka hukumnya halal.
Justeru, alternatif kepada unsur-unsur haram ini terlalu banyak jika dibincangkan secara serius dan bersama. Contohnya, jika 'upline' haram mendapatkan bahagian yuran 'downline' kerana ia termasuk dalam kategori 'memakan harta orang lain secara batil' seperti bentuk yang diterangkan, pihak syarikat boleh menyediakan jumlah tertentu sebagai kos marketing untuk diberikan kepada 'upline' yang berjaya mencari 'downline' atau ahli pengguna baru dengan perincian tertentu.
Berdasarkan konsep Islam, �upline� boleh mendapatkan bahagian upahnya mencari pengguna baru kerana itu hasil usaha dan titik peluhnya, tetapi disyaratkan perolehannya tadi bukan dengan cara memakan hasil orang lain.
Justeru, apabila disebut 'upline' haram mendapatkan bahagian yuran �downline� maka kita memahami bahawa 'upline' tidak berhak mendapat apa-apa. Ini menatijahkan 'upline' yang bertindak sebagai pekerja marketing tidak akan melakukan kerja promosi dan akhirnya syarikat tidak berkembang dan barangan produknya akan mati begitu sahaja.
Unsur haram pada MLM tanpa disusuli usaha mencari alternatifnya akan mematikan sebahagian pembangunan produk orang-orang Islam dalam konteks dan suasana ekonomi kita sekarang.
Pakar-pakar ekonomi yang mencipta sistem MLM jangan berputus asa apabila sistemnya disifatkan haram atau mengandungi unsur haram. Mereka mestilah meningkatkan usaha dan meninggikan semangat melalui perbincangan dengan ulama berkebolehan di lapangan ekonomi dan muamalat Islam bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara-perkara buntu serta alternatif kepada unsur-unsur haram.
Sikap, tindakan dan peranan umat Islam
� Tidak boleh cepat menghukum: Apabila diperhatikan unsur haram yang disenaraikan di atas, kita dapati sebahagiannya hanya diketahui pihak yang menggubal sistem MLM itu sendiri. Contohnya hakikat kepada sumber bonus yang diagihkan hanya diketahui oleh pembuat sistem MLM sahaja sekalipun terdapat beberapa petunjuk yang menjadi ukuran kepada sumbernya.
Sikap kita sebagai pemerhati tidak boleh terlalu cepat menghukum halal atau haram sesuatu MLM melainkan melalui penyelidikan atau terdapat sebab yang jelas keharamannya. Ini dari sudut kita sebagai pemerhati yang tidak terlibat dengan sistem MLM.
� Tidak terlibat dalam perkara yang tidak jelas: Jika kita ingin menyertai, sepatutnya kita mengetahui dengan jelas apakah sumber bonus yang bakal kita perolehi, apakah punca pengembangan modal yang dilaburkan dan sebagainya. Jika ia tidak jelas dan masih keliru dengan sistem atau rangkaian MLM, ia tidak sepatutnya melibatkan diri.
� Tidak terpedaya dengan kempen �cepat kaya�: kadangkala faktor yang menjebakkan seseorang ke dalam rangkaian MLM yang haram disebabkan keghairahan keuntungan yang ditawarkan. Sepatutnya kita perlu berfikir rasional dan logik kerana ulama Islam menggariskan sebab-sebab pulangan di dalam lingkungan tiga perkara: modal, kerja dan dhoman.
Jika sesuatu keuntungan yang dijanjikan bukan selain daripada tiga perkara tadi, sama ada ia menyebabkan kita akan tertipu atau akan mengalami kerugian atau memang benar-benar mendapat untung sebagaimana yang dijanjikan tetapi keuntungan tadi dibina di atas kezaliman dan penindasan terhadap orang lain.
� Bantu membantu dalam kebaikan: Kita perlu membantu ekonomi orang-orang Islam dengan membeli barangan keluaran mereka sekalipun harganya lebih mahal dan mutunya mungkin lebih rendah.
Ini kerana, modal yang dimiliki orang Islam lebih rendah berbanding bukan Islam, menyebabkan kos pengeluaran dan pemasaran lebih tinggi berbanding mereka yang bermodal besar seterusnya menyebabkan harganya tidak mampu diturunkan lebih rendah daripada produk antarabangsa yang kuantiti pengeluaranya lebih banyak dan pasarannya lebih meluas.
Jika orang Islam tidak membantu dan hanya memilih barangan lebih murah dan bermutu tanpa melihat kepada 'konsep membantu orang Islam', ia akan melenyapkan produktiviti orang Islam dan menyuburkan produktiviti orang bukan Islam.
Jika orang Islam bersabar dengan menjadi pengguna tetap kepada produk keluaran orang Islam sekalipun harganya lebih tinggi dan mutunya lebih rendah berbanding produk antarabangsa yang bukan Islam, maka ia dapat meningkatkan mutu keluaran orang Islam dan membantu menurunkan harga barangan tersebut apabila keupayaan meningkatkan kuantiti pengeluaran produk orang Islam bertambah dengan sokongan kita melalui pembelian dan menjadi pengguna tetap.
Penutup
Hukum asal MLM harus kecuali apabila dimasuki faktor-faktor haram. Dari sudut positif, sistem MLM boleh bertindak sebagai pemecah kepada tembok monopoli pasaran seterusnya membantu orang Islam mengembangkan produk mereka. Justeru, pembinaan ini mestilah digabungkan antara kepakaran ahli-ahli ekonomi dan perniagaan dengan ulama-ulama yang berkebolehan dalam bidang ekonomi dan muamalat Islam.
Pembaikan sistem MLM supaya bertepatan dengan syariat sebagai strategi pemasaran produk orang Islam amat penting dalam keadaan dan suasanan negara yang semakin membuka pintu globalisasi ekonomi, terutama ketika berdepan FTA. Pengemblengan tenaga antara ulama dan ahli perniagaan amat penting bagi memastikan kemajuan ekonomi umat Islam._