Sunday, August 8, 2010

CINTA 14 FEB

Bu, adik Cuma ingin bertanya…
Rasanya ibu tak akan mampu menjawabnya...
Ibu ingat 14 feb tak
Malam tu ibu ada janji temu
Ibu jumpa jejaka tu
Ibu kata dia cintakan ibu

Benarkah bu?
Dia puji dan puja ibu
Dia rayu dan belai ibu
Katanya cintanya hanya untuk ibu

Benarkah bu?

Ibu terkhayal dengan bujukannya
Ibu terbuai dalam bicaranya
Ibu terlena oleh bisikannya
Benarkah bu?
Ibu tak kisah dia peluk ibu
Ibu izin dia sentuh jasad ibu
Ibu puas dapat buktikan setia ibu
Macam dia kata.. mahu bukti cinta dari ibu
Tapi benarkah bu?
Masa berlalu,
Hari ini lepas 9 bulan...
Pohon yang ibu dan lelaki tu tanam telah membuahkan hasil
Hari ini buah cinta kalian telah terzahir
Hari ini bukti kasih jejaka itu pada ibu telah lahir...
tapi benarkah bu?

Kenapa dia tidak sama menyambut kami?Kemana dia telah pergi tidak azankan kami?
Mengapa ibu pun benci kami?
Sedangkan inilah semaian tanda cinta kalian?
Mengapa ibu?

Tak terasakah sakit dan perit
tak berbakikah kasih dan sayang dan
Tidak lagi kah ibu berTuhan?

Benarkah ibu?
Benarkah begitu?
adik cuma nak tanya je bu.....
 Renung renung kanlah !!!

-Bila seronok, aku cari....pasanganku
-Bila sedih, aku cari....Mak
-Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
-Bila gagal, aku ceritakan pada....Mak
-Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
-Bila berduka, aku peluk erat....Emakku
-Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
-Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah....Mak
-Bila sambut valentine.. Aku bagi hadiah pada pasanganku
-Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu"
-Selalu.. aku ingat pasanganku
-Selalu.... Mak ingat kat aku
-Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
-Entah bila... aku nak talipon Mak
-Selalu...aku belikan hadiah untuk pasanganku
-Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk Emak
-Renungkan:
-"Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja...
-bolehkah kau kirim wang untuk Mak?
-Mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah".

-Berderai air mata jika kita mendengarnya........

-Tapi kalau Mak sudah tiada..........
-MAKKKKK...RINDU MAK.... RINDU SANGAT....

-Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
-berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
-berapa ramai yang sanggup. mengantikan lampin ibunya.....
-berapa ramai yang sanggup..... membersihkan najis ibunya.......
-berapa ramai yang sanggup....... membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
-berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....
-Dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......

Monday, August 2, 2010

Pelabur Tidak Ada Wang Melabur di Malaysia, Ada Banyak Wang Melabur di Thailand

Oleh: tayadihmaysia

" Hari ini UM menyiarkan laporan tentang pendapat Che Det berkaitan dengan penurunan luar biasa FDI Malaysia. Sebelum ini, bertebaran artikel yang ditulis khusus untuk membela penurunan luar biasa FDI Malaysia dalam blog pro-UMNO. Antara artikel yang ditulis turut menghentam YB Dato' Mahfuz Omar kerana lantang mempertikaikan penurunan FDI tersebut. Sehingga YB PAS ini diperlekehkan sebagai YB yang tidak habis sekolah. Malah, mereka turut mempertikaikan kelayakan akademik beliau. Namun, apabila dibaca hujah logik akal tersebut, mereka seharusnya berasa malu dengan tohmahan yang telah dibuat.
Antara hujah mereka yang kunun-kununnya "bijak pandai" ini termasuklah:
...Lebih baik kita tumpukan kepada penjelasan kenapa FDI merosot sebanyak 81 peratus kepada RM4.43 billion pada 2009 berbanding RM23.47 billion pada 2008.

Untuk memudahkan pemahaman Mahfuz, kita terangkan dalam bahasa yang boleh difahami oleh rakyat biasa.


Malaysia kini tidak lagi menumpukan kepada industri berasaskan tenaga buruh.
Sebaliknya, negara menekankan perindustrian berasaskan kemahiran dan pengalaman.

Langkah ini diambil bagi mengurangkan pergantungan terhadap pekerja asing. Ini antara salah satu sebab yang mungkin menyebabkan syarikat-syarikat yang mementingkan kos buruh yang rendah tidak memilih Malaysia.


Bagaimanapun, langkah ini adalah tepat dan memberi manfaat kepada Malaysia dari segi sosial dan jangka panjang.


Krisis ekonomi dunia juga memberi kesan langsung kepada FDI.
Sebelum ini, kebanyakan syarikat-syarikat yang melabur di Malaysia melaburkan kembali keuntungan mereka di sini.

Tetapi, memandangkan seluruh negara di dunia, termasuk negara-negara kuasa besar juga terjejas dengan krisis ini, maka pelabur-pelabur perlu lebih teliti dalam menangani belanjawan syarikat.


Perancangan, pemantauan dan kawalan kewangan lebih ketat dan dibuat terus oleh syarikat induk di negara-negara masing-masing.


Oleh yang demikian kebanyakan syarikat-syarikat ini memilih untuk tidak melaburkan semula keuntungan mereka sebagai langkah menangani krisis ini.


Malaysia kini berada dalam
proses transisi di mana Model Ekonomi Baru baru saja diperkenalkan.

Pelabur-pelabur perlu mengambil masa memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang dilakukan oleh kerajaan.


Selain itu,
tanggungjawab membawa masuk FDI juga lebih banyak dipikul oleh kerajaan negeri.

Kerajaan negeri pada ketika ini mengambil langkah kurang aktif dalam mempromosi pelaburan kerana menunggu masa yang lebih sesuai iaitu setelah pelabur-pelabur membiasakan diri dengan perubahan-perubahan yang dibuat serta apabila keadaan ekonomi menjadi lebih stabil. 
Untuk pengetahuan Mahfuz, khususnya, dan pembangkang, amnya, merancang FDI memerlukan masa yang panjang, bukannya seperti melabur dalam Kohilal...

Benarkah begitu keadaannya? Sedangkan Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan tidak berpendapat demikian. Ku Li membidas kenyataan menteri yang didakwanya tidak bercakap benar dan memutar belitkan fakta tentang FDI. Antara laporan tentang hal ini termasuklah: ...Mustafa dilaporkan berkata ini kerana Malaysia tidak berminat menarik pelaburan dalam sektor pulangan rendah seperti yang melanda ekonomi kawasan lain. Razaleigh yang juga ahli parlimen Guan Musang mengetepikan perkiraan bahawa pelabur tempatan lari ke luar negara kerana pasaran Malaysia sudah tepu. "Masalah sebenarnya ialah keyakinan (pelabur). Jika begitu, kenapa syarikat seperti YTL buat stesen janakuasa di Singapura? Awak boleh tanya mereka."Kita perlukan duit untuk bangunkan negara ini. FDI bukan hanya bawa duit tapi latihan dan kemahiran pembangunan."Mungkin inilah idea para blogger pro-UMNO untuk mempertahankan kejatuhan FDI negara. Inti pati alasan menteri ini pun lebih kurang sama dengan isi blog-blog proKERAjaan. Ada sesiapa yang  mahu mempertikaikan kenyataan Ku Li?

Che Det hari ini seperti yang dilaporkan dalam UM juga tidak berpendapat demikian. Katanya, pelabur asing tidak ada wang untuk melabur di Malaysia. Wah, benarkah begitu Che Det?! Ironinya, mereka (pelabur-pelabur asing) ada banyak wang untuk melabur di Singapura (ASD17 ribu juta), Thailand (ASD6 ribu juta) , Indonesia, dan Vietnam. Bukankah pelik jika Che Det yang begitu terkenal dengan ilmu ekonominya berkata sedemikian rupa. Mengapa mereka melabur di Singapura dan Thailand, tidak pula di Malaysia. Berbanding Thailand yang tidak stabil situasi politiknya, bukahkah Malaysia sepatutnya mempunyai kelebihan untuk memperoleh FDI yang lebih tinggi.

Hujah blogger pro-UMNO, negara kita kini tidak lagi menumpukan industri berasaskan buruh tetapi kini beralih kepada industri berasaskan kemahiran dan pengalaman. Jika begitu, apa pula peranan berjuta-juta pendatang asing yang bekerja di Malaysia? Mereka bekerja dalam industri berasaskan apa? Jika benar begitu, adakah Singapura dan Thailand yang mempunyai FDI yang cukup tinggi masih menumpukan industri berasaskan buruh? Sedangkan dari segi ekonomi, Singapura lebih maju daripada Malaysia.

Kata mereka, pengenalan Model Ekonomi Baru turut memberikan kesan kepada kemasukan FDI. Kalau tidak silap, semasa mengumumkan MEB, PM 1Malaysia telah berjanji untuk meliberalisasikan ekonomi negara sehingga kouta untuk Bumiputera pun dihapuskan demi menarik pelaburan asing. Hal ini mungkin sengaja disembunyikan oleh blogger -UMNO, namun itulah realitinya. Ironinya, pengumuman itu sewajarnya menarik lebih banyak pelabur asing kerana polisi ekonomi negara ini sudah agak seiring dengan negara-negara lain. Mengapa FDI kita semakin merosot sedangkan MEB memberikan banyak kelebihan kepada pelabur asing?

Saya bukan pandai ekonomi. Hujah saya mungkin kurang bijak berbanding dengan orang bijak pandai dalam bidang ini. Namun,  janganlah cuba menegakkan benang yang basah. Berilah komen yang membina bukannya asyik membodek PM1 Malaysia sehingga menyebabkan negara ini terus merundum dan mendatangkan kesan yang negatif kepada negara. Jika mahu menyokong, janganlah menyokong untuk membawa rebah!

Saya petik:
Pelabur asing tidak ada wang untuk melabur - Dr. Mahathir
[UM] KUALA LUMPUR 1 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini disebabkan pelabur asing seperti dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak mempunyai wang untuk dilaburkan.

Bekas Perdana Menteri memberitahu, pelabur terbabit juga memerlukan wang yang mereka ada untuk dilaburkan di dalam negara sendiri berikutan keadaan ekonomi yang semakin teruk terutama di Eropah dan AS.


''Keadaan ekonomi Eropah dan AS amat terjejas berikutan krisis kewangan yang melanda negara terbabit sehingga ramai rakyatnya tidak mempunyai pekerjaan.


''Kebanyakan pelabur terpaksa menumpukan kepada pelaburan di dalam negara masing-masing kerana ia amat diperlukan di sana, ini bermakna mereka tidak akan membuat pelaburan besar di negara lain,'' katanya.


Beliau yang merupakan Pengerusi The Loaf berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan cawangan keempat The Loaf di IOI Boulevard di Puchong dekat sini hari ini.


Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Pengarah Urusan The Loaf, Jiro Suzuki.


Dr. Mahathir mengulas mengenai Malaysia mencatat kejatuhan FDI sebanyak 81 peratus tahun lalu kepada AS$1.38 bilion (RM4.22 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.39 bilion) pada 2008 yang merupakan rekod terburuk dialami negara sejak 15 tahun lalu....

Friday, July 23, 2010

LUQMANUL HAKIM

Kad kredit adalah riba!!

Oleh: nurdin

"Mungkin sudah ramai mengetahui dan mengakui bahawa kad kredit adalah sejenis riba. Namun, tidak ramai mempunyai kekuatan untuk mengelak daripada terus menggunakannya.

Zaharuddin.net dalam posting terbaharunya sekali lagi menegaskan dan mengingatkan bahawa kad kredit adalah riba!

Menurut web itu, kedudukan kad kredit sebagai riba sudah diputuskan menerusi fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa.
“Hubungan di antara pengguna dan pengeluar kad adalah hutang. Pihak pengeluar akan membayar jumlah pembelian yang dibuat kepada penjual (peniaga).
“Kemudian, sebagai balasan, pihak peniaga perlu membayar kepada pengeluar kad sebanyak satu peratus hingga tiga peratus dari jumlah barang yang dibeli sebagai komisyen, manakala pengguna pula perlu membayar semula hutang tadi berserta caj riba yang mahal, iaitu 17.5 peratus setiap tahun,” catat zaharuddin.net.
Zaharuddin.net dikendalikan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Ustaz Haji Zaharuddin Abd Rahman. Beliau berpengalaman luas dalam bidang kewangan Islam, termasuk sebagai panel syariah di pelbagai organisasi. Web ini menjadi rujukan popular dalam pelbagai bidang, termasuk fikah dan muamalat.
Menurut web terbabit, sebagaimana pernah disebut Profesor Undang-Undang Universiti Havard, Amerika Syarikat, Dr. Elizabeth Warren, kad kredit adalah sama seperti ah long (loan shark).
Apa yang membezakan di antara kedua-duanya ialah kad kredit diatur secara lebih tersusun dan profesional, manakala ah long beroperasi secara gelap dan berbau jenayah.
“Namun hakikatnya, kedua-duanya adalah sama dari sudut caj dan kezalimannya,” tegas zaharuddin.net.
Menurutnya, walau hutang kad kredit diselesaikan sepenuhnya dalam tempoh 20 hari yang diberi, riba tetap mengenai pengguna. Ini kerana, setiap penggunaan menyebabkan peniaga perlu membayar komisyen satu peratus hingga tiga peratus kepada pengeluar kad.
Dengan itu, catat zaharuddin.net, setiap penggunaan kad kredit konvensional dianggap bantuan dan sokongan secara langsung kepada ‘industri kad nafsu’ berteraskan riba.
“Kalau dahulu, pihak pengeluar kad memberikan tempoh 20 hari setiap bulan sebagai tempoh ‘no charge, no interest’ jika dibayar jumlah minimum lima peratus, namun bermula hujung 2008, Bank Negara Malaysia (BNM)  memansuhkan undang-undang terbabit bagi merendahkan kadar faedah yang lain.
“Justeru, kini hanya mereka yang membuat ‘full repayment’ sebelum tamat tempoh 20 hari itu terkecuali daripada caj faedah dalam jadual di atas. (Manakala) yang lain tidak lagi terselamat sebagaimana dahulu,” catat web terbabit.
Ia menyifatkan kad kredit sebagai ‘kad nafsu’ kerana menggalakkan ‘leverage’ melampau dengan menggandakan kemampuan pembelian menerusi hutang dan sengaja menggalakkan pembayaran lewat.
Menurut statistik BNM, jumlah hutang kad kredit bertambah 20 peratus setiap tahun. Dengan kadar faedah 1.5 peratus sebulan, bank di negara ini secara mudah mengaut keuntungan faedah kira-kira RM159 juta setiap tahun, tidak termasuk caj perkhidmatan lain.
Antara caj yang dikenakan bank kepada pengguna kad kredit ialah caj pembayaran lewat, yuran tahunan, caj pembelian antarabangsa, caj belian melebihi had kredit dan caj pengeluaran tunai.
“Demikian  sifat sekeping kad kredit yang sering dibanggai pemiliknya bagi menunjuk kemewahan diri, namun hakikatnya ia hanya sekeping ‘kad hutang’ yang menunjukkan potensi diri pemiliknya untuk jatuh muflis atau menunjukkan pemiliknya yang lebih suka membayar sesuatu dengan harga yang lebih mahal, suka berhutang dan cenderung berbelanja melebihi pendapatan.
“Itulah juga kad kredit, sekeping kad yang disediakan untuk melayan kebuasan nafsu membeli dan berhutang manusia dan mengambil kesempatan atas kelemahan itu. Diberinya kemudahan membeli sehingga melebih kemampuan pendapatan, malangnya dikenakan caj yang tinggi, adakalanya kurang difahami cara kiraannya oleh pengguna itu sendiri, lalu bertambahlah malang,” tulis zaharuddin.net.
Justeru, web berkenaan menyeru semua pengguna Islam agar segera menghapuskan kad kredit, terutama jika ia dikeluarkan bank konvensional kerana ia secara sahih adalah riba, sebaliknya mereka disaran menggunakan kad caj Islam atau kad debit Islam.
Zaharuddin.net mengingatkan:
“Insafilah dan beringatlah sebelum terlambat. Moga kita diberikan kekuatan untuk bertindak dan memotong kad-kad kredit kita.”
Untuk bacaan lanjut, sila klik di sini. – inimajalah.com

Wednesday, July 7, 2010

257,000 anak luar nikah membimbangkan!!

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Sejumlah 257,000 kelahiran tanpa bapa yang didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tahun 2000 hingga Julai 2009 wajar membimbangkan semua pihak berwajib, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff.
Ini kerana, menurut beliau, sebanyak 30,978 kelahiran yang terdaftar membabitkan bayi beragama Islam.
"Bagi saya, semua pihak perlu bertanggungjawab, kerajaan perlu melaksanakan undang-undang yang lebih ketat, ibu bapa perlu ajar agama pada anak-anak," jelas beliau ketika mengulas pendedahan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berhubung perkara itu pada 1 Julai lalu.
Sedangkan, menurut beliau, perangkaan kelahiran tanpa bapa mengikut beberapa agama yang lain adalah 18,085 bayi beragama Hindu; 17,236 (Buddha); dan 3,395 (Kristian).
Melihat pada perangkaan rasmi JPN itu, beliau mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil langkah yang lebih dinamik sebagaimana yang diperkenalkan oleh Islam.
"Tak cukup dengan menyediakan khidmat kaunseling dan apa yang sedia ada selagi kementerian wanita tak laksanakan pendidikan Islam dan kempen-kempen yang dinamik supaya rakyat tinggalkan aktiviti penzinaan ini," tegas beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat.
Tambahnya, sistem pendidikan yang tidak melahirkan rasa takut kepada Allah menyebabkan mereka yang terbabit tidak gentar dengan undang-undang ciptaan manusia.
"Undang-undang yang ada memang tak menakutkan penzina-penzina ini, kerajaan wajar mengkaji dan jelaskan apakah keindahan dan hikmah di sebalik undang-undang Allah kepada semua rakyat untuk mereka membuat pertimbangan," tambah beliau sambil menyeru kerjaaan melihat inisiatif yang cuba dilaksanakan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum ini.
Dari segi yang lain, beliau turut mengkritik amalan meletakkan mahar atau  'hantaran' yang agak tinggi sehingga menyukarkan pasangan yang mahu hidup secara beragama dengan berkahwin.
Lanjutan itu, beliau mencadangkan kementerian berusaha untuk mengubah budaya itu, selain meneruskan kempen hidup secara sihat yang sedia ada.
Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin pula menyalahkan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kerana gagal membentangkan dasar pembangunan wanita yang lebih komprehensif untuk menangani gejala sosial seperti penzinaan ini.
"Sudah lama saya membangkitkan soal dasar wanita di Dewan Rakyat, tetapi menteri ini tidak layan," ujar beliau dalam nada yang kesal.
Akibatnya, insiden seperti gadis-gadis Penan yang dirogol oleh para peneroka balak seperti yang dibangkitkan di Dewan Rakyat sebelum ini terus berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sikap sambil lewa menteri sebagai mengkhianati rakyat serta mengajak kaum wanita memilih kepemimpinan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak..
 

Thursday, July 1, 2010

Israel Bantah Kartun Mesir. Samakah KDN-Kartun Zunar?




Israel bantah akhbar Mesir siar kartun gambarkannya Nazi.

KAHERAH 29 Jun 10
: Kedutaan Israel di sini mengemukakan aduan kepada akhbar parti pemerintah Mesir mengenai penyiaran sebuah kartun yang mengaitkan rejim Zionis itu dengan Nazi Jerman. Aduan itu adalah langkah luar biasa kerana kedutaan tersebut lazimnya tidak mempedulikan kritikan daripada media Mesir.

Al-Watani al-Youm pada 15 Jun lalu menyiarkan kartun menunjukkan sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang menuju ke Genting Gaza ditangkap oleh seekor sotong kurita yang membawa bendera Israel, tetapi lambang swastika Nazi dan bukan simbol Star of David tertera pada bendera itu.

Akhbar minggu itu ialah lidah rasmi Parti Demokratik Kebangsaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak.

"Kedutaan Israel memilih untuk mengulas mengenai karikatur itu kerana Israel disamakan dengan fahaman Nazi.

"Banyak kenyataan dan karikatur anti-Yahudi disiarkan dalam media Mesir tetapi kami tidak mahu mengulas mengenainya. Namun, karikatur ini bukan lagi menggambarkan tentangan terhadap dasar Israel, tetapi merupakan fitnah," kata jurucakap kedutaan, Shani Cooper-Zubida.

Bagaimanapun kartunis berkenaan, Carlos Latuff yang berasal dari Brazil mempertahankan kartunnya dalam e-mel kepada Reuters.

"Duta Israel sepatutnya menunjukkan keprihatinan yang sama terhadap nyawa aktivis yang terkorban dalam Flotila Pembebasan, sebagaimana dia prihatin terhadap kartun saya," kata Latuff.

Menurut beliau, dakwaan anti-Yahudi sudah diketahui menjadi strategi kerajaan Israel dan para penyokongnya untuk menangkis sebarang kritikan terhadap dasar aparteid Israel.

"Tuduhan jahat itu tidak akan menghalang saya untuk terus melukis kartun bagi membela nasib rakyat Palestin yang gagah berani," tambah Latuff.

Pengarang Al-Watani al-Youm, Mohammed el-Alfy mempertahankan pendirian akhbar beliau dengan berkata, penyiaran kartun itu adalah soal kebebasan bersuara. - Reuters

Blog Ibnu Hasyim: Samakah dengan KDN Malaysia yang marahkan kartun Zunar?
Lihat ini..
Syabas Carlos Latuff! Tambahan kartun lagi..
Gambar-gambar kartun tentang kebiadaban Israel.

Karya dibawah adalah karya Carlos Latuff, seorang kartunis berkebangsaan Latin yang menzahirkan prihatinnya melalui gambar. Memang wajar kerana kita juga pernah merasakan bagaimana rasanya hidup dalam penjajahan…

Tuesday, June 29, 2010

Kisah Di Sekolah Gajah..Dia Curi Pisang Saya!!



ini bukan pertama kali saya pernah sampai di Dumai. Kira-kira hampir Asar, setelah bertolak naik feri kira-kira jam 9 pagi dari Pelabuhan Kelang, Malaysia. Di kawasan pelabuhan itu, di bawah pokok saya makan sate Padang dengan beberapa penumpang yang tadinya sama-sama dalam feri.

"Kira-kira 15 tahun lalu saya pernah ke sini.. Saya membawa pelancong-pelancong Malaysia melawat sekolah gajah berhampiran pekan Duri di sini.." Saya memulakan perbualan.

"Sekolah gajah? Ai, gajah pun bersekolah juga?" tersentak ibu didepanku, terkejut.

Hal ini membuat ingatanku terbang menghimbau kisah-kisah lama di sini. Di mana sebuah berita antarabanga WWF atau World Wide Fund For Nature telah membuat filem dokumentari mengenai konflik gajah dan manusia di Riau. Berita yang menyorot ingatan semasa saya bersama-sama Syarikat GG Edar melawat Pusat latihan Gajah yang saya namakan 'sekolah gajah' waktu itu.

Dumai ialah sebuah bandar pelabuhan, kaya dengan minyak seperti Kelantan dan Terngganu kalau di Malaysia Barat. Dari Dumai ke pekan Duri, terus arah ke Pekan Baru kira-kira 2 jam perjalanan dengan Toyota Kijang, merentasi kampung, kawasan pembalakan dan hutan belantara. Masih terbayang, apabila pekerja-pekerja di situ kerumuni kami, seolah-olah kami orang luar pertama melawat pusat latihan yang baru dibina itu. Termasuk beberapa pemuda 'pawang gajah' jurulatih handal berpengalaman, yang diimport dari Thailand.

Mereka terus buat pertunjukan, dipanggilnya 10 ekor gajah. "Pusat Latihan ini baru dibuka." kata salah seorang jurulatih atau pawang gajah itu, memberi taklimat. "Tapi yang 10 ini adalah terbaik dari 80 ekor yang ada."

"Yang lain di mana?" Saya tanya, kerana saya tak nampak pun, di dalam kawasan yang kira-kira 4 ekar itu. "Di mana tempat tidur mereka?"

"Oooo. Kalau bapak datang ke sini kira-kira jam 9 pagi atau 5 sore, saya akan bawa bapak ke tepi sungai belakang pusat latihan ini.." katanya, sambil jarinya menunjuk arah sebuah kawasan semak berlorong menuju sebuah sungai dibawah pohon-pohon besar. "Bapak bisa lihat, mereka mandi-manda ramai-ramai. Lepas itu mereka pulang. Mereka datang, bila kami panggil."

"Eh. Bagaimana makan-tidurnya, tak diberi?" Antara kami bertanya.

"Aah, itu urusan mereka sendiri! Rimba inilah kampung halaman mereka, tiada manusia yang terganggu di sini." Sambung jurulatih itu sambil terkekeh-kekeh tertawa.

Pertunjukan pun bermula.

"Siapkan barisan!!" Perintahnya dengan suara nyaring kepada gajah-gajah itu. Semua gajah-gajah itu mengikut, kecuali seekor anak gajah, yang tidak indahkan peraturan, nampaknya. Pawang jurulatih itu pun tidak ambil kisah.

Sesudah berbaris, gajah itu disuruh duduk.

"Ya, bapak. Sila hulurkan tanganmu, bersalaman degan gajah-gajah ini." Saya pun bersalaman dengan belalainya, satu persatu hingga selesai barisan itu.

Diperintahkan gajah itu bermain bola. Tiap gajah, ada seorang gembala atau pawang jurulatih itu ditengkuk yang sentiasa mengawalnya. Gajah itu menyepak bola ke kiri ke kanan. Disuruh pula meniti jambatan diperbuat dari papan tebal. Lebarnya kira-kira 1-2 kaki, agak jauh puluhan kaki juga... susunannya bagai itek berbaris berlenggang pulang petang.

Seterusnya, gajah-gajah itu disuruh berjalan melintasi beberapa anak muda yang bergelipangan berbaring di atas tanah. Gajah itupun berjalan, meletakkan kakinya di celah anak-anak muda yang berbaring itu, berhati-hati hindari dari terpijak pemuda itu. Beberapa gajah sudah lulus ujian.

Tetapi, tiba-tiba seorang dari pemuda yang berbaring itu melompat bangun lari lintang pukang dari pembaringan itu. Pemuda-pemuda lain pun terus mengikut begitu satu persatu. Menyebabkan acara itu tidak jadi diteruskan. "Mengapa?" Saya tanya spontan.

"Aku kenal gajah-gajah itu Pak. Yang hampiri aku tadi itu, antara yang paling degil. Aku nampak dia naik angin Pak. Aku yakin dia akan pijak aku betul-betul! Sebab itulah aku lari. Jangan sampai penyet tak bernapas!!" Jelasnya dalam kepenatan.

Acara berikutnya, menunggang gajah ala cowboy, sehingga dua kaki depannya terangkat ke atas. Ini antara acara paling menarik, sehingga penonton-penonton bersorak-sorai gembira. Dan banyak lagi acara-acara lain seperti bergayut di belalinya beramai-ramai, semua gajah berbaring tidur macam manusia, atau bersalaman sesama sendiri belalai bertemu belalai bagaikan tanda perpisahan.

Bila tahu kami akan pulang, gajah-gajah dan pekerja-pekerja sekolah tersebut berkumpul bersama-sama mengucapkan salam perpisahan dan bergambar beramai-ramai. Seolah-olah suasana sedih menyelubungi perasaan masing-masing. Mereka mengharapkan kami akan membawa lebih ramai lagi pengunjung-pengunjung menziarahi mereka.

"Kalau bapak mahu beli gajah, atau ada syarikat-syarikat teman bapak mahu membeli atau menyewa gajah kami untuk pertunjukan dan sebagainya, sila datang ke sini, bisa pilih Pak!" Kata salah seorang pegawai pemasaranya.

Gajah pun boleh ikut peraturan kalau betul cara didiknya, apa lagi manusia. Kanak-kanak yang dilahirkan bersih, cuma peranan ibubapanya, yang men'yahudi-nasrani'kan. Begitu juga bagi sesebuah kerajaan, maju mundurnya terletak kepada kemampuan peminpinnya. Bila negara menghadapi masalah buang anak, masalah seks remaja, dan sebagainya, siasatlah tentu ada cacat cela pemerintahnya. Sila betulkan. Kalau pemerintah masih degil juga, tukar pemimpin atau tukar kerajaan. Pilih parti yang mahukan kemajuan dunia akhirat menurut Islam.

Tiba-tiba terdengar suara riuh orang ramai dari arah kedai makan dan buah-buahan di belakang kami. Tuan gerai itu menjerit..

"Dia curi pisang saya! Dia curi pisang saya!" Sambil menunjukkan arah seekor anak gajah yang melarikan se sikat pisang. "Kami nggak bisa buat apa-apa, karena dia kuat!"

Itu baru se sekor anak gajah yang sedang ditarbiah, apa lagi kalau anak seorang pemimpin negara. Teruk lagi kalau ianya seorang bapak kepada pemimpin-pemimpin, atau pemimpin no 1 negara yang tidak pernah ditarbiah secara Islam untuk memimpin umat majoriti Islam?? Jauh panggang dari api!

Friday, June 25, 2010

Kaedah Bagaimana Gambar Muslimah Dieksploitasikan Jadi Lucah

Sekali lagi, saya rasa terpanggil untuk “bertanggungjawab” terhadap penulisan saya sebelum ini. Tentang pengeksploitasian gambar muslimah yang bertudung.

Sebelum itu, suka untuk saya beritahu di sini bahawa saya tidak punyai sebarang kepentingan dan keuntungan daripada penulisan ini, cuma saya mengharapkan “maruah” seorang muslimah itu terpelihara.

Juga ingin saya beritahu bahawa “memang gambar yang statik, tidak dapat ditembusi pakaiannya”, tetapi anda perlu ingat, ia boleh “dieksploitasi”. Ayat ini sudah saya ulangi banyak kali, namun masih ada yang belum jelas. Jadi, di dalam ruang ini, ingin saya dedahkan secara terperinci bagaimana gambar ini boleh dieksploitasikan.

Pertama : Kaedah Penghasilan 3D

Saya antara penggemar software Lightwave, dan selama 5 tahun saya menggunakan software ini, saya menyedari bahawa cukup mudah untuk menghasilkan tubuh badan manusia. Bahkan, sejak kebelakangan ini, lebih banyak software 3D yang muncul, khas untuk menghasilkan tubuh badan manusia.

Semasa penghasilan sesuatu tubuh badan, kita memerlukan rangka. Atau istilah yang biasa digunakan di dalam software ialah “bone” (tulang). Di hujung “bone” ini, adalah sendi. Bone inilah yang membentuk asas tubuh seseorang, samada tinggi, lebar dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, pada tubuh setiap manusia terdapat titik-titik sendi yang utama. Contohnya di tengkuk, bahu, siku, pergelangan tangan, pinggang, kemaluan, lutut dan buku lali. Ini adalah kebiasaannya.

Cara untuk men”3D”kan sebatang tubuh berdasarkan gambar ialah, dengan cara mendapatkan gambar tersebut. 3 gambar seorang wanita yang menutup aurat, dengan 3 aksi yang berbeza sudah cukup untuk mengeksploitasikannya kepada 3D.

Contohnya, gambar pertama seseorang itu sedang duduk, dan tangkap dari sudut sisi. Dari situ, kita dapat meletakkan titik-titik sendi, di tengkuk, pinggang lutut dan siku. Gambar kedua pula adalah aksi berdiri seperti biasa dan ditangkap dari depan. Lebih mudah untuk meletakkan titik-titik sendi, iaitu di tengkuk, bahu dan pinggang.

Begitulah gambar yang keseterusnya. Setelah titik-titik sendi ini diletakkan, dan dipadankan dengan kesemua gambar, maka akan membolehkannya “memasang” tulang-tulang tadi (bone), dan menghasilkan satu kerangka tubuh berdasarkan gambar tersebut.


Contoh "bone" yang cuba dipadankan dengan gambar

Setelah penghasilan kerangka, lalu dilihat kembali kepada gambar-gambar tadi untuk mengukur saiz-saiz pada anggota badan. Iaitu membentuk tubuh badan berdasarkan bentuk-bentuk yang “matching” dengan kerangka tadi. Contohnya, saiz pada dada dan pinggul yang dapat dikesan daripada gambar tadi.




Contoh penukaran daripada gambar statik kepada 3D. Cuma pen"3D"an ini dibuat daripada gambar yang "tidak menutup aurat". Bagi gambar menutup berpakaian, boleh dipadankan, seakan-akan sama dengan sebenar.



Saya tak pasti, adakah penghasilan 3D ini dibuat daripada gambar, atau discan daripada wajah sebenar.


Setelah itu, terhasillah satu bentuk tubuh badan yang telanjang daripada rekaan 3D tadi. Lebih teruk apabila wajah mangsa juga di”3D”kan, untuk menghasilkan diri seorang wanita yang seksi berdasarkan gambar. Atau dengan kata lain, olahan daripada gambar statik kepada 3D yang mempunyai bentuk-bentuk.

(sila lihat gambar di atas)

Tidak hairan, sekarang ini sudah banyak filem-filem lucah dalam bentuk 3D. Tidakkah anda risau sekiranya karakter dalam filem lucah 3D itu adalah orang yang anda kenal? Atau diri anda sendiri? Na’uzubiLlah. Dari manakah mereka boleh mengumpulkan gambar-gambar ini? Saluran yang paling mudah ialah Facebook!

Kedua : Super Impose

Teknik ini sudah diketahui ramai, tetapi ramai yang “terleka” mengenainya. Teknik ini begitu mudah, dengan hanya menggunakan Adobe Photoshop, sudah mampu untuk menghasilkan gambar seorang yang bertudung tetapi bertubuh “tidak berpakaian” sepertimana yang telah dieksploitasikan sejak kebelakangan ini.

Saya antara penggemar Adobe Photoshop dan saya telah menggunakannya selama 8 tahun, daripada 2002 lagi. Di dalam Adobe Photoshop terdapat pelbagai alat (tool) yang disediakan, antaranya clone stamp, smudge, blur, curves, hue/saturation dan banyak lagi. Anda boleh tengok sendiri dan pelajari kaedah-kaedah menggunakannya.

Cara yang mudah, hanya memerlukan gambar seorang wanita “walaupun bertudung”. Gambar tersebut “dikerat” pada bahagian tudung, beserta muka. Kemudian dipadankan dengan mana-mana tubuh bogel yang sesuai, ataupun menggayakan aksi yang hampir sama.

Boleh juga dengan cara “mengerat” di bahagian muka sahaja, kemudian ditampal pada wajah-wajah perempuan bogel. Maka, ia akan menghasilkan seorang yang berwajah melayu, tetapi tidak berpakaian. Untuk menambahkan “real” pada gambar, maka perlu menggunakan curves, hue/saturation dan sebagainya bagi memadankan warna muka dengan tubuh badan. Bahkan mengawal pencahayaan bagi grafik tersebut.

Teknik ini sudah ramai yang tahu, dan menyedari kesan buruknya, tetapi tidak ramai yang berjaga-jaga dan berhati-hati. Ini kerana mereka mungkin berkata “isy.. takkan la gambar kita.. gambar orang lain ramai lagi...” Walaupun anda memberikan sejuta alasan, ia tetap tidak menghalang niat-niat jahat golongan tertentu untuk mengeksploitasikan gambar tersebut.

Anda jangan terkejut, sekiranya laman utama sebuah web lucah tertera gambar anda dengan menggayakan aksi yang melampau. Ataupun gambar orang yang anda kenal. Gambar hasil superimpose ini menjadi bahan tarikan untuk ke web tersebut, dengan menggunakan istilah “malay sex” atau seumpama dengannya.

Dari manakah mereka memperolehi gambar-gambar ini? Saluran yang paling mudah dan cepat ialah melalui Facebook! Inilah dunia hari ini. Semoga teguran ini bermanfaat.


Agak-agak la.. tengok muka budak ni, macam tak percaya je dia jadi Hero Filem.. Kalau nak tengok lagi, sila klik sini (link)

Ketiga : Melukis Semula

Cara ini agak ketinggalan zaman, dan saya kira ia sudah tidak dilakukan pada zaman sekarang. Saya juga antara orang yang gemar melukis dan memang meminati kartun dan lukisan potret. Bagi saya, nak melukis bentuk badan manusia cukup mudah, apatah lagi watak-watak kartun yang dihasilkan di dalam televisyen.

Pada zaman sekarang, lukisan Manga (lukisan Jepun) telah banyak dicemari dengan watak-watak seksi seperti Sailormoon dan komik-komik Jepun sendiri. Lukisan yang seksi ini boleh mem”blue”kan otak pembaca. Apa nak hairan, komik khas yang berunsur lucah pun memang diterbitkan. Apatah lagi komik pendekar yang berwatak lucah.

Pada zaman dahulu, ada di kalangan seniman-seniman dunia yang melukis wanita yang tidak berpakaian, kemudian lukisan tersebut dianggap sebagai satu seni yang agung. Semua orang tahu, kisah yang dipaparkan di dalam Filem Titanic, lebih kurang begitulah.

Lukisan Leornado Da Vinci.. terpaksa dihitamkan..

Saya sebagai seorang pelukis, ingin memberitahu bahawa pelukis-pelukis ini ada yang mampu melukis wajah anda sebijik. Antaranya, ketika berada di bangku sekolah, saya mampu melukis gambar kawan saya yang sedang tidur di atas meja (kawan lelaki). Dalam otak ini, pernah je syaitan berbisik, lukis la gambar perempuan pulak.

Betapa mudahnya melukis gambar orang, walaupun tidak jadi 100%, tapi irasnya cukup jelas. Di dalam kes peng”eksploitasi”an gambar ini, lebih mudah! Caranya hanya mencopy gambar daripada Facebook atau saluran-saluran yang sesuai, kemudian melukis wajahnya dan tubuh badannya sekali.

Apatah lagi apabila gambar begitu banyak dalam Facebook, bertambah mudah untuk melukis wajah-wajah yang bertudung, yang diubah menjadi seperti tidak berpakaian! Tak susah pun.. Cuma setakat ni, alhamdulillah, tangan ini masih dijaga oleh Allah daripada disalahgunakan.

Tapi cuba anda bayangkan, sekiranya ada orang lain yang cuba menyalahgunakan gambar anda. Mereka melukis wajah anda, tetapi ditambah dengan tubuh badan yang seksi? Adakah anda tidak takut dengan perkara ini?

Realiti yang terjadi, hari ini ramai kartunis-kartunis yang melukis wajah orang yang mereka benci dengan menggayakan aksi yang tak senonoh, untuk mengutuknya. Contoh kita boleh lihat wajah Obama yang paling mudah untuk dieksploitasikan melalui lukisan. Apakah anda tidak sedar, kemungkinan gambar anda turut diperlakukan sedemikian?


Kalau dalam bentuk kartun, tak kisah sangat.. Tapi kalau bentuk potret? Fikir-fikirkan. Semoga nasihat ini berguna.


Kesimpulan

Peringatan dan nasihat ini saya sampaikan tanpa mendapat sesen pun. Cuma, saya ingin menyelamatkan “maruah” kaum wanita muslimah. Islam mengajar dua perkara penting dalam konteks ini. Iaitu, “wajib menutup aurat” dan “wajib menjaga pandangan”. Kedua-dua hukum wajib ini untuk lelaki dan perempuan.

Maka, apabila kita menyiarkan gambar-gambar kita (muslimah) di dalam Facebook, seolah-olah kita memberi ruang kepada orang lain untuk “tidak menjaga pandangan mereka”. Memang benar kita menutup aurat, tetapi kita juga perlu berusaha supaya mengelakkan orang “tidak dapat menjaga pandangan” disebabkan kita.

Peringatan kepada mereka yang “pandai” dalam bab-bab 3D grafik, lukisan potret dan adobe, janganlah anda menyalahgunakan kelebihan yang diberikan oleh Allah. Gunakan kemahiran itu untuk kebaikan.