Saturday, July 11, 2009

TAPAK TANAH UTK PENJUAL DAGING BABI...

Tapak Tanah Untuk Penjual Daging Babi Adakah bertentangan dengan hukum Islam memberi kemudahan seperti tapak tanah khas untuk orang-orang yang bukan Islam menjual makanan yang tidak halal seperti dalam sebuah supermarket khas yang hanya menjual daging babi atau daging segar yang didatangkan dari luar dan demikian juga jenis-jenis makanan/minuman dalam tin yang tidak bercampur dengan makanan orang-orang Islam. Perkara ini adalah semata-mata bertujuan untuk menjaga maslahat orang Islam di negara Islam sendiri?

Berdasarkan hukum syara’, orang-orang yang bukan Islam tidak dibenarkan menampakkan arak, khinzir (babi), naqus (lambang), hari-hari perayaan mereka dan beberapa perkara tertentu kepada orang Islam. Perkara-perkara ini telah disebutkan oleh Al-Imam Al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj Al- Thalibin dan kitab ini telah disyarahkan oleh Al-Khathib Al-Syarbini:

وَيَمْنَعُ مِنْ اِسْمَاعِهِ الْمُسْلِمِيْنَ شِرْكًا، وَقَوْلَهُمْ فِيْ عُزِيْرٍ وَالْمَسِيْحِ، وَمِنْ اِظْهَارِ خَمْرٍ وَخِنْزِيْرٍ وَنَاقُوْسٍِ عَيْدٍ


Ertinya: "Ditegah orang kajir mendengarkan perkara-perkara syirik kepada orang-orang Islam, kata-kata mereka mengenai nabi ‘Uzair dan Al-Masih (Nabi Isa) menampakkan arak, khinzir (babi), lonceng sembahyang dan hari perayaan mereka. "
(Mughni Al-Muhtaj 4/322)

Pengarang Al-Anwar li A’mal Al-Abrar pula ketika membicarakan persyaratan kafir dzimmi di negeri Islam berkata:

وَيَلْزِمُهُمْ كَفُّ اللِّسَانِ عَنْ اِسْمَاعِ المُسْلِمِيْنَ شِرْكهُمْ وَثَالِثِ ثَلاَثَةٍ وَاِعْتِقَادهُمْ فِي عِيْسَى وَغُزَيْرٍ

عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ وَاِظْهَار الْخَمْرِ وَالْخِنْزِيْرِ وَالنَّاقُوْسِ وَاِعْيَادهُمْ وَقِرَاءَتهمُ التَّوْرَة وَالإِنْجِيْل جِهَارًُا

وَاِحْدَاثهمُ الْكِنَائِس فِي بِلاَدِنَا..............

Ertinya: “Mereka mesti menahan lidah mereka daripada memperdengarkan kepada orang-orang Islam tentang kemusyrikan mereka, akidah tuhan tiga dalam satu, akidah mereka terhadap Nabi Isa dan Nabi ‘Uzair alaihimassalam, menzahirkan arak, khinzir, lonceng gereja, hari-hari raya mereka, bacaan Taurat dan Injil secara nyaring dan membangun gereja dalam negeri kita…..”
(Al-Anwar 2/366)

Berdasarkan nash ini, orang-orang bukan Islam ketika menjual khinzir hendaklah secara terasing dan tidak dilihat oleh orang-orang Islam.

Penjualan khinzir di sesetengah pasar raya sekarang di negara ini, sungguhpun telah ditempatkan di bilik yang khas yang terasing dan tidak bercampur dengan daging-daging yang bukan khinzir dan tidak dapat dilihat oleh orang-orang Islam, namun pasar raya itu juga masih turut menjual lain-lain barangan yang boleh dibeli oleh orang-orang Islam. Ini manjadikannya masih dalam satu bangunan juga dan bahkan satu pengurusan. Perkara dan keadaan begini adalah tidak menjamin, bahawa khinzir dan lain-lain barang itu tidak akan bercampur-aduk kerana sebelum ia (daging khinzir) dimasukkan ke tempatnya yang khas itu, tentulah terlebih dahulu ia dibawa melalui tempat yang sama dengan tempat membawa dan melalukan lain-lain barang bukan khinzir, iaitu mungkin dengan menggunakan bekas dan alat-alat yang sama pula, seperti bakul, troli, pisau, mesin pemotong daging dan lain-lain sebagainya.

Dalam erti kata lain, adalah belum tentu selamat jika penempatan penjualan daging khinzir dalam satu bangunan, apalagi jika pekerjanya memang terdiri daripada orang-orang bukan Islam yang tidak kenal mana yang halal, mana yang haram dan mana yang suci dan mana yang najis.

Adapun mengenai dengan menjual daging yang tidak halal yang bukan khinzir, makanan lain yang tidak halal atau barang-barang yang najis supaya tidak bercampur dengan makanan halal atau barang-barang yang tidak najis, adalah ia suatu keputusan yang bijaksana jika ada pihak-pihak yang mengambil langkah demikian, lebih-Iebih lagi pihak kerajaan.
Yang demikian itu sudah pasti akan menyelamatkan orang-orang Islam daripada terbeli bahan-bahan makanan atau barangan yang tidak halal itu.

Oleh itu, khusus bagi penjualan daging khinzir secara terasing, tidak dilihat oleh orang-orang Islam dan tidak mengganggu mereka, maka adalah harus bagi kerajaan Islam memberi kemudahan tapak tanah khas untuk orang-orang bukan Islam menjual daging khinzir itu. Ini supaya daging khinzir itu tidaklah terdedah sehingga dapat dilihat oleh orang-orang Islam, di mana pada masa yang sama merupakan satu cara mengawal kesihatan danjuga mengelakkan fitnah (kekacauan) yang berpunca daripada kegelisahan orang ramai sekiranya daging-daging khinzir itu mudah dilihat dan dijumpai di kalangan orang ramai itu.

Jikalau berbangkit perkara fitnah yang boleh menimbulkan dua mudarat di dalam sesuatu masalah, seperti masalah tiada kemudahan bagi orang-orang bukan Islam menjalankan urusan muamalahnya, maka kerajaan Islam bolehlah mengambil mudarat yang lebih ringan, tambahan lagi tindakan ketua negara Islam itu ialah berdasarkan maslahat, sebagaimana kaedah menyebutkan:

تَصَرُّفُ الإِمَامِ عَلَى الرَّعْيَةِ مَنُوْطٌ بِالْمَصْلَحَةِ


Ertinya: “Tindakan ketua negara ke atas rakyat terikat dengan maslahat.”

Dalam pada itu, mesti diingat bahawa apabila kerajaan memberi kemudahan yang dimaksudkan itu, hanyalah untuk memenuhi hajat atau keperluan semata-mata tanpa menjejaskan orang Islam sendiri, seperti terjejas aqidah atau lain-lain kepentingan mereka, hatta sekadar kepentingan duniawi sekalipun.

Maka kerana itulah pemilihan tapak tanah misalnya, bukanlah jenis yang bermutu (prime land) sehingga boJeh merugikan umat Islam sama ada dalam jangka pendek mahupunjangka panjang. Kerajaan harus mengambil sewa yang munasabah sepertimana sewa kepada lain-lain kemudahan iaitu sekiranya ia disediakan oleh kerajaan.






Negara asal : Brunei darussalam
Negeri : Brunei
Badan yang mengisu fatwa : Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, Negara Brunei Darussalam
Penulis/Ulama : Pehin Datu seri maharaja Dato seri utama Dr Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz
Tarikh Diisu : 1998

No comments: