Wednesday, July 7, 2010

257,000 anak luar nikah membimbangkan!!

KUALA LUMPUR, 7 Julai: Sejumlah 257,000 kelahiran tanpa bapa yang didaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) antara tahun 2000 hingga Julai 2009 wajar membimbangkan semua pihak berwajib, kata Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff.
Ini kerana, menurut beliau, sebanyak 30,978 kelahiran yang terdaftar membabitkan bayi beragama Islam.
"Bagi saya, semua pihak perlu bertanggungjawab, kerajaan perlu melaksanakan undang-undang yang lebih ketat, ibu bapa perlu ajar agama pada anak-anak," jelas beliau ketika mengulas pendedahan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berhubung perkara itu pada 1 Julai lalu.
Sedangkan, menurut beliau, perangkaan kelahiran tanpa bapa mengikut beberapa agama yang lain adalah 18,085 bayi beragama Hindu; 17,236 (Buddha); dan 3,395 (Kristian).
Melihat pada perangkaan rasmi JPN itu, beliau mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil langkah yang lebih dinamik sebagaimana yang diperkenalkan oleh Islam.
"Tak cukup dengan menyediakan khidmat kaunseling dan apa yang sedia ada selagi kementerian wanita tak laksanakan pendidikan Islam dan kempen-kempen yang dinamik supaya rakyat tinggalkan aktiviti penzinaan ini," tegas beliau yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat.
Tambahnya, sistem pendidikan yang tidak melahirkan rasa takut kepada Allah menyebabkan mereka yang terbabit tidak gentar dengan undang-undang ciptaan manusia.
"Undang-undang yang ada memang tak menakutkan penzina-penzina ini, kerajaan wajar mengkaji dan jelaskan apakah keindahan dan hikmah di sebalik undang-undang Allah kepada semua rakyat untuk mereka membuat pertimbangan," tambah beliau sambil menyeru kerjaaan melihat inisiatif yang cuba dilaksanakan oleh PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum ini.
Dari segi yang lain, beliau turut mengkritik amalan meletakkan mahar atau  'hantaran' yang agak tinggi sehingga menyukarkan pasangan yang mahu hidup secara beragama dengan berkahwin.
Lanjutan itu, beliau mencadangkan kementerian berusaha untuk mengubah budaya itu, selain meneruskan kempen hidup secara sihat yang sedia ada.
Sementara itu, Ketua Wanita Keadilan, Zuraida Kamaruddin pula menyalahkan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kerana gagal membentangkan dasar pembangunan wanita yang lebih komprehensif untuk menangani gejala sosial seperti penzinaan ini.
"Sudah lama saya membangkitkan soal dasar wanita di Dewan Rakyat, tetapi menteri ini tidak layan," ujar beliau dalam nada yang kesal.
Akibatnya, insiden seperti gadis-gadis Penan yang dirogol oleh para peneroka balak seperti yang dibangkitkan di Dewan Rakyat sebelum ini terus berpanjangan.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan sikap sambil lewa menteri sebagai mengkhianati rakyat serta mengajak kaum wanita memilih kepemimpinan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak..
 

No comments: